Yusri Che Lah banyak 'kerja rumah' bersama The Bos Gaurus


  • Podium
  • Selasa, 08 Feb 2022

SKUAD Perak FC mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Sri Pahang FC pada aksi pra-musim pada Sabtu. — Facebook Perak Football Club

JURULATIH Perak FC, Yusri Che Lah menyifatkan masih banyak kelemahan perlu diperbaiki The Bos Gaurus menjelang sepak mula saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2022 walaupun mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Sri Pahang FC pada aksi pra-musim pada Sabtu.

Malah menurut Yusri, segala kelemahan tersebut diharap dapat diperbaiki segera apabila skuad Seladang itu sekali lagi beraksi pada aksi pra-musim selepas ini.

“Sebenarnya, sudah dua aksi pra-musim yang kita adakan dan ia secara keseluruhannya, bertujuan untuk kita tengok tahap kecergasan pemain, terutamanya dalam tempoh 45 minit permainan.

“Tak boleh kata kita dah berpuas hati kerana apa yang boleh saya katakana adalah bagaimana pemain dapat memahami corak taktikal yang akan diterapkan oleh pasukan. Itu lebih mustahak.

“Dalam masa sama, kita juga berikan peluang kepada semua pemain untuk pamerkan aksi masing-masing dan diharapkan menjelang sepak mula nanti, pemain berada pada tahap kecergasan yang terbaik,” katanya pada Ahad.

Pada aksi pra-musim di Padang Latihan Sime Darby, Bukit Jelutong, Shah Alam itu, skuad Kejor Yob Kejor itu menang 2-1 menerusi jaringan Aliff Zikri dan Wan Zack Haikal Wan Noor.

Minggu lalu, skuad Seladang itu turut mencatatkan kemenangan dengan menewaskan kelab Liga Super Ipoh, Dee Jay Arr FC, 3-1 di Stadium Perak.

Mengulas lanjut, Yusri berkata, Perak FC akan mengharungi dua lagi aksi persahabatan dan dijadualkan berdepan Negeri Sembilan FC dan Selangor FC pada minggu ini.

“Mengenai tarikh perlawanan, ia akan ditentukan oleh pihak pengurusan dan ia akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu, Yusri berkata, biarpun kuota bagi pemain tempatan telah pun mencukupi setakat ini, namun tidak menolak kemungkinan mengenai kemasukan pemain baharu.

"Kuota untuk pemain tempatan sudah pun 'penuh' tetapi tidak mustahil sekiranya ada pemain baharu akan dibawa masuk untuk membantu memperkuatkan lagi pasukan bagi mengharungi musim 2022 nanti,” katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram