Malaysia tepati kriteria tuan rumah kelayakan Piala Asia 2023


  • Podium
  • Selasa, 08 Feb 2022

Hamidin (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines Berhad Izham Ismail pada majlis perasmian livery rasmi pesawat Airbus A330-300 Harimau Malaya di Kompleks Kejuruteraan Malaysia Airlines Berhad, Sepang pada Selasa. — Bernama

MALAYSIA masih berada di landasan tepat dalam bidaan sebagai tuan rumah pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 Jun depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya masih menepati kriteria yang ditetapkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

"Tetapi, kita terpaksa bersaing dengan banyak negara lain yang ada antara mereka langsung tidak perlu kuarantin dan ada yang terus masuk ke dalam gelembung sukan.

"Jadi kita harap skuad Harimau Malaya tetap bersedia sama ada bermain di dalam atau di luar negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Livery Pesawat Airbus 330-300 Harimau Malaya di Kompleks Kejuruteraan Malaysia Airlines Berhad, Sepang pada Selasa.

Menurut Hamidin, walaupun kes jangkitan Covid-19 tempatan meningkat dengan mendadak ketika ini, FAM tetap dengan pendirian untuk membida sebagai tuan rumah kerana situasi berbeza dengan ramai yang sudah divaksinasi.

"Kita harap selepas 24 Februari iaitu selepas proses undian berlangsung kita akan dapat jawapan daripada AFC sama ada kita berjaya atau tidak," katanya.

Berdasarkan kedudukan ranking FIFA terkini, Malaysia akan berada dalam balang 3 undian Kelayakan Piala Asia 2023 bersama Hong Kong, Yaman, Afghanistan, Maldives dan Singapura. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram