'Tanpa JDT, Liga M tiada kemajuan'


  • Podium
  • Isnin, 07 Feb 2022

KEWUJUDAN JDT dalam arena bola sepak tempatan dilihat berjaya merubah lanskap bola sepak Malaysia menjadi lebih baik. — JDT

KEWUJUDAN Johor Darul Takzim (JDT) dalam arena bola sepak tempatan dilihat berjaya merubah lanskap bola sepak Malaysia menjadi lebih baik, sekaligus memberi manfaat kepada kelab-kelab lain yang ada di negara ini.

Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman mengakui, beliau sendiri cuba mencontohi apa yang dilakukan oleh pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk menjadikan kelabnya berdaya saing sehingga mampu memberi manfaat kepada liga tempatan.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Zamsaham memberi contoh slot tambahan ke Piala AFC yang diberi kepada pasukan Malaysia hasil persembahan memberangsangkan JDT di pentas antarabangsa.

"Saya nampak kejayaan JDT disebabkan TMJ berjaya bersihkan parasit organisasi ketika awal pengambilalihan dan penggabungan Johor FC, Johor FA dan Majlis Perbandaran Muar FC.

"Saya percaya ada rasa teruja pada mana-mana pasukan termasuk pasukan saya (Kelantan FC) untuk berlawan taktikal dan bermain di Stadium JDT.

"Perubahan ini yang sebenarnya kita perlukan pada semua kelab (iaitu) semangat bersaing sesama sendiri," katanya pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas permintaan sesetengah pihak yang mahukan TMJ dikenakan tindakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) susulan kenyataannya yang didakwa mengkritik badan induk itu.

Mengulas lanjut, Zamsaham berkata, pihak terbabit seharusnya berasa bertuah TMJ meluahkan kritikan dan pandangannya atas sebab cintakan bola sepak negara supaya lebih maju.

"Pelik ada yang sanggup nak kenakan hukuman kepada TMJ sebab memberi pandangan tentang bola Malaysia. Kita nak maju ke hadapan ke tak?

"Saya bukan nak 'jilat' sesiapa, sebab komen saya berasas. Hanya orang yg bukak mata terbuka minda akan nampak pergorbanan TMJ ke dalam industri bola sepak tanah air," katanya.

Beliau berkata, pihak berkenaan harus mengubah mentaliti dan menerima kritikan secara terbuka untuk kemajuan bola sepak negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram