PENYERANG import dari Jepun, Taiki Kagayama, 25, yang menyertai Sabah FC baru-baru ini berharap dia dapat memberi impak kepada skuad The Rhinos itu dalam Liga Super musim ini.
Sabah akan menjadi pasukan Asia pertamanya sebagai pemain profesional selepas meninggalkan kelab Finland, Inter Turku.
Pemain berusia 25 tahun itu berkata, sebelum ini dia mencari persekitaran baharu.
"Saya sentiasa mencari peluang untuk meningkatkan taraf permainan. Salah satu sebab utama saya datang ke sini adalah kerana jurulatih, Datuk Ong Kim Swee.
"Pada pendapat saya, seorang pemain harus memiliki jurulatih yang menghargainya dan aura itu dapat dirasai bersama beliau.
"Saya harap dapat menjaringkan gol dan mencapai sasaran yang ditetapkan oleh kelab. Saya juga berharap ia akan menjadi musim yang baik," kata Kagayama.
Kagayama mula bermain secara profesional tiga tahun lalu di Finland dan bermain untuk Ykkonen (divisyen pertama), MuSa dan KPV, sebelum membuat perpindahan besar ke kelab Veikkausliiga (divisyen perdana) Inter Turku pada 2020.
Pada tahun pertamanya, dia membantu Inter Turku menduduki tempat kedua hingga layak ke Liga Europa, dan pada tahun lalu, mereka berakhir di tempat keempat.
Ketika zaman bola sepak remajanya di Jepun, Kagayama adalah sebahagian daripada Akademi JFA Fukushima sebelum berpindah ke Universiti Kansai, mewakili institusi itu dari 2015 hingga 2018.
Kagayama berkata, dia teruja bermain buat pertama kalinya dalam bola sepak profesional Asia.
"Saya telah mengikuti kejohanan-kejohanan di Malaysia dan saya percaya tahap dan persekitaran semakin baik.
"Ia sudah tentu bertambah baik, itu pasti. Saya juga kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh penyokong.
"Seorang pemain profesional berkembang maju dalam suasana seperti itu dan saya percaya saya berada di tempat yang betul," katanya.
Selain Kagayama, pemain import lain yang bersama Sabah FC pada musim ini adalah bekas pemain pertahanan kelab terkemuka di Brazil, Jackson Souza dan Neto Pessoa.
Tahun lalu, Sabah menduduki tempat kesembilan dalam Liga Super dan layak ke suku akhir Piala Malaysia. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram