TAK kiralah sama ada sekadar berdepan skuad kerdil ataupun tidak, namun kehebatan gergasi Utara tanah air, Kedah FC (KDA FC) meledak 18 gol tanpa bolos waima sebutir jaringan sekalipun dalam keempat-empat aksi pramusim 2022, sememangnya bukan calang-calang.
Selepas membelasah kelab Mada FC dengan kemenangan bergaya 9-0, kecemerlangan anak-anak buah Aidil Sharin Sahak tidak terhenti di situ apabila mengatasi skuad belia KDA FC (1-0), Respect FC (5-0) dan terbaharu mengatasi Langkawi City FC dengan kemenangan selesa 3-0 pada Selasa.
Paling mencuri tumpuan pastinya bintang sensasi Harimau Malaya, Syafiq Ahmad yang berjaya mencetak empat gol, diikuti kapten muda Lang Merah, Fayadh Zulkifli dan penyerang import baharu dari Cameroon, Ronald Ngah Wanja yang masing-masing melakar tiga jaringan selepas empat aksi pramusim setakat ini.
Seorang lagi pemain import Hijau Kuning, Dennis Buchening juga tidak kurang hebatnya apabila telah menjaringkan dua gol sementara Afeeq Iqmal Rosli, Rodney Calvin, Khairu Azrin Khazali, Jang Suk-Won dan Al-Hafiz Harun juga tidak ketinggalan meletakkan nama selaku penjaring buat skuad The Red Eagle.
Meskipun hanya dianggap sebagai medan pemanas badan, keampuhan benteng Hijau Kuning mengekalkan rekod tanpa bolos dalam empat perlawanan pramusim itu sememangnya tidak boleh dipandang remeh, sekali gus melontarkan amaran awal terhadap mana-mana pencabar dalam saingan domestik musim ini.
Pada masa sama, ketajaman jentera penyudah skuad Lang Merah juga wajar diberikan kredit khususnya pemain muda seperti Fayadh dan Afeeq Iqmal yang tenang melaksanakan tugas menggempur gawang lawan.
Namun apa yang pasti, ujian sebenar bagi menguji kemampuan Kedah musim ini bakal bermula Jumaat apabila akan memulakan jelajah pramusim di Lembah Klang sehingga 9 Februari.
Tidak sekadar itu, The Red Eagle juga bakal mengharungi siri pramusim terakhir musim ini dengan menyeberangi Laut China Selatan apabila tiga pasukan, Sabah FC, Sarawak United dan Kelantan FC dijangka menjadi medan persiapan terakhir Kedah dalam kejohanan empat penjuru sebelum sepak mula Liga Super bermula 26 Februari depan.
Ketika ditemu bual media tempatan sebaik aksi pramusim berakhir sebelum ini, bukan kemenangan besar yang menjadi indeks ukuran Aidil Sharin sebagai bos Stadium Darul Aman, sebaliknya membentuk persefahaman terbaik dalam kalangan anak-anak buahnya dilihat lebih signifikan.
Aidil Sharin dilaporkan berkata, jumlah jaringan yang besar dalam empat aksi pramusim setakat ini juga disifatkan tonik bagi membakar adrenalin pemain supaya menjadi lebih bermotivasi, sekali gus membina momentum yang wajar dikekalkan sepanjang saingan liga kelak.
Jelas beliau, keserasian posisi semua pemain juga menjadi faktor utama selain mengenal pasti kelemahan dan kelebihan pasukan supaya dapat membuat persiapan yang lebih rapi ketika aksi sebenar.
Pada masa sama katanya, kesungguhan pemain mematuhi percaturan taktikal khususnya di benteng pertahanan sepanjang latihan juga wajar diberikan kredit kerana mereka masih di fasa awal strategi keseluruhan posisi merangkumi bahagian tengah dan jentera serangan.
"Pasukan sedang dibina secara berperingkat menerusi latihan dan aksi pemanas badan, masih banyak aspek peningkatan yang perlu dilakukan.
"Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan perkembangan skuad terutama tahap keserasian, kesungguhan dan komitmen yang telah ditunjukkan oleh semua pemain setakat ini," ujar Aidil Sharin kepada pemberita.
Kedah yang menduduki tempat kedua dalam Liga Super musim lalu turut diundi bersama kelab liga Filipina, Kaya FC Iloilo dan kelab Indonesia, Bali United di peringkat Kumpulan G Piala AFC 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram