TEKA-TEKI sama ada penyerang veteran berbisa, Safee Sali kekal bersama Kuala Lumpur City (KL City FC) ataupun tidak masih kekal misteri apabila dikhabarkan cuba diintai dua kelab, Perak FC dan UiTM FC sebelum saingan Liga Malaysia (Liga-M) membuka tirainya Februari depan.
Khabar angin itu dilontarkan pemerhati sukan, T. Avineshwaran di laman Twitternya pada lewat malam Sabtu.
TANGKAP layar ciapan T. Avineshwaran
Semusim menyarung jersi KL City FC, Safee berjaya membantu kelab itu menjulang Piala Malaysia 2021.
Sebelum itu, Safee juga pernah menyarung jersi skuad ibu kota pada 2004 apabila jurulatih Kuala Lumpur FA, Igor Novak mengambilnya sebagai pemain ketika itu.
Dia dikhabarkan mahu kekal semusim lagi bersama KL City musim depan, namun ura-ura khidmatnya diperlukan Perak FC dan UiTM FC sememangnya mencetuskan polemik dalam kalangan peminat bola sepak tanah air.
Sudah menginjak usia 37 tahun, penyerang veteran berkenaan sudah merasai kejayaan memenangi Liga Super, Piala FA dan Piala Sumbangsih ketika bersama Selangor (2009-2010) dan Johor Darul Takzim (2014-2016).
Safee juga pernah berkelana ke luar negara apabila menandatangani kontrak satu tahun dengan kelab Indonesia, Pelita Jaya yang mana perpindahan itu menjadikan Safee pemain Malaysia pertama beraksi dalam Liga Super Indonesia sebelum kembali ke tanah air menyertai JDT pada 2014.
SAFEE kini dikhabarkan berada dalam radar Perak FC dan UiTM FC. — Facebook/KL City
Dalam pada itu, kelab elit tanah air, Perak FC baru-baru ini telah kehilangan bekas pemain sayap pinjaman dari Kedah, Farhan Roslan setelah dia memilih untuk bersama pasukan Kelantan FC bagi menghadapi saingan Liga-M musim 2022.
Jika benar Safee ke Stadium Perak, dia mungkin kembali bekerjasama dengan rakan sepasukannya di KL City, Indra Putra Mahayuddin yang turut disebut-sebut menyarung jersi The Bos Gaurus musim depan.
Skuad UiTM FC pula memerlukan kredibiliti dan pesona Safee sebagai pemimpin selepas skuad itu dikhabarkan berjaya mendapat suntikan kewangan baharu untuk kekal beraksi dalam saingan Liga-M musim depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram