Dua legenda bola sepak enggan sertai dialog terbuka


  • Podium
  • Selasa, 01 Feb 2022

POLEMIK bola sepak negara tercetus sejak kalahnya Harimau Malaya pada Piala AFF Suzuki di Singapura pada Disember lalu.

SESI besemuka antara terbuka tidak akan mampu untuk merungkai isu berbangkit yang mungkin boleh dikaitkan dengan prestasi hambar skuad Harimau Malaya pada Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura sebelum ini.

Berkongsi pandangannya mengenai cadangan yang diusulkan pemilik Johor Darul Takzim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim, bekas pemain kebangsaan Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, sesi dialog ini dikhuatiri hanya akan memanjangkan isu yang timbul.

"Sebenarnya untuk apa kita nak sesi dialog? FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dah tubuh badan siasatan bebas, biarlah FAM buat kerja mereka.

"Saya khuatir sesi dialog itu akan memanjangkan lagi isu yang timbul.

"Yang penting, TMJ (Tengku Mahkota Johor) dah bagi pandangan baginda. FAM pun dah kata akan ambil serius pandangan TMJ," katanya.

Jamal malah tanpa berselindung mengakui bahawa dia tidak akan menyertai sesi dialog tersebut sekiranya menerima jemputan.

"Bukan sebab takut, sebab bagi saya memang tak perlu sesi dialog.

"Lagipun dalam perlembagaan FAM, mana-mana ahli gabungan, pemegang taruh yang memberikan kritikan kepada FAM, boleh dikenakan hukuman penggantungan.

"Jadi bagi saya, tak ada point kalau isu ini dipanjangkan lagi, kena ingat tahun 2022 ada banyak assignment, jangan kita hilang fokus disebabkan perkara seperti ini," katanya.

Pandangan sama turut dilontarkan seorang lagi legenda bola sepak kebangsaan, Khalid Ali yang khuatir sesi dialog itu jika diadakan akan mengundang lebih banyak persepsi negatif.

“Saya lebih nampak sisi negatif daripada positif sekiranya sesi dialog itu diadakan. Ya... mungkin ada yang berpendapat, ia baik untuk pihak-pihak terlibat memberi pandangan demi bola sepak Malaysia.

“Cuma saya takut impak sesi dialog itu lebih mendatangkan spekulasi yang tidak baik. Bagi saya, kritikan terbuka hanya akan menjatuhkan maruah sebuah persatuan bola sepak negara.

“Nanti perbincangan itu jadi perdebatan. Saya tak minat (jika dijemput sertai sesi dialog)... saya tarik handbrake. Lebih baik semua pihak saling bekerjasama untuk membangunkan pasukan negara.

Tegasnya, semua pihak termasuklah peminat, penyokong, pengkritik perlu bekerjasama untuk membantu pasukan negera kembali bangkit.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa bagaimanapun menyambut baik sesi dialog secara terbuka itu.

Jelasnya, saranan Tunku Ismail itu mampu merungkai beberapa isu berbangkit kerana sesi tersebut memberi peluang kepada penyokong bertanya segala persoalan tanpa berselindung.

Dalam satu sesi wawancara bersama Astro Arena dan portal Cakap Sukan di Dubai minggu lalu, Tunku Ismail memberitahu sedia ‘duduk semeja’ dengan beberapa pakar bola sepak tanah air bagi menjawab pelbagai persoalan dan isu bola sepak Malaysia ketika ini.

Malah, Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu mencadangkan tiga jurulatih termasuk bekas pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe selain Bojan Hodak dan Lim Teong Kim sebagai antara individu yang boleh dipanggil untuk sesi tersebut.Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram