JDT 'makan angin' sambil jalani latihan di Dubai, dijamu Salt Bae


  • Podium
  • Jumaat, 04 Feb 2022

PEMAIN JDT kelihatan gembira menunggang unta di Dubai. — Facebook/JDT

LAWATAN dua minggu Johor Darul Takzim (JDT) ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) merupakan percutian yang sangat sempurna bagi pemain merehatkan diri dengan pemandangan indah, penginapan dan jamuan mewah sebelum musim Liga Super bermula pada 26 Februari.

Jurulatih JDT, Benjamin Mora percaya bahawa latihan pramusim yang singkat boleh mengembalikan semangat pasukan dalam usaha untuk memenangi liga buat kali kesembilan dan membuktikan status mereka sebagai pasukan terbaik dalam kancah bola sepak tempatan.

Gambar pasukan sedang menikmati pemandangan dan bangunan futuristik di Dubai dikongsi di laman media sosial JDT dan ia kelihatan seperti percutian yang menyeronokkan.

Mereka turut dijamu oleh cef terkenal dunia dari Turki, Nusret Gokce, yang lebih dikenali sebagai Salt Bae.

Pasukan JDT sememangnya layak untuk menikmati waktu berehat setelah meluangkan masa berjam-jam dalam latihan dan setelah menunjukkan prestasi yang baik dalam semua perlawanan persahabatan mereka setakat ini.

JDT sebelum ini mencatat kemenangan selepas menentang kelab hebat semasa siri jelajah pra-musim di UAE.

Mereka berjaya kekalkan kemenangan tanpa kekalahan dalam tiga perlawanan persahabatan.

Mereka menewaskan kelab Slovakia MSK Zilina 2-1, menewaskan pasukan tuan rumah Shabab Al Ahli 1-0 dan seri menentang kelab Latvia, Riga 1-1.

JDT dijadualkan menentang Rodina Moscow pada Rabu dan akan bertemu Spartak Moscow pada Sabtu sebelum terbang pulang ke Malaysia.

Pemain baharu seperti pemain sayap, Moussa Sidibe dari Mali, pemain pertahanan tengah, Nathaniel Shio Hong Wan, dan pemain penyerang dari Argentina, Fernando Forestieri telah mempamerkan aksi yang mengagumkan.

Mora mengharapkan permulaan yang cemerlang apabila JDT menentang Kuala Lumpur dalam Perisai Amal pembukaan musim di Stadium Sultan Ibrahim pada 26 Februari.

"Kami telah menjalani beberapa sesi latihan yang sangat baik di Dubai dan dapat menyesuaikan diri dengan sistem permainan baharu sebagai persiapan untuk menghadapi Liga Super musim 2022.

"Perlawanan persahabatan pramusim antarabangsa amat memberangsangkan.

"Ada sedikit kebimbangan terhadap kesihatan dan kecederaan pemain, namun saya yakin mereka akan pulih dan dapat bermain untuk kelab.

"Bergson sudah pulih daripada jangkitan di perut yang menyebabkan dia terlepas perlawanan terakhir, tetapi Hong Wan dan Kunanlan masih tidak dapat bermain kerana keracunan makanan," kata Mora.

Syahmi Safari, yang membuat penampilan sulung bersama kelab JDT selepas meninggalkan Selangor pula berdepan masalah kekejangan hamstring (otot paha).

“Syahmi mengalami kekejangan otot kerana dia tidak biasa dengan sesi latihan berintensiti tinggi seperti di JDT, namun dia semakin pulih dengan baik dan bersedia untuk beraksi selepas sesi pemulihan.”

Musim lalu, JDT memenangi kejuaraan Liga Super kali kelapan berturut-turut dan melayakkan mereka ke Piala Malaysia tetapi ditewaskan oleh KL City 0-2.

JDT pastinya berharap mereka dapat ke tahap yang lebih tinggi dengan memenangi Piala Liga Super, Piala FA dan merebut kembali Piala Malaysia. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

sukan, bola sepak, jdt, liga super, tmj