PENYERANG kelahiran Nigeria, Uche Agba telah melanjutkan kontraknya bersama Sarawak United, namun beliau berharap isu gaji tidak akan timbul lagi pada musim baharu Liga Malaysia (Liga-M).
Penyerang berusia 35 tahun itu memainkan peranan penting dalam membantu kelab Borneo itu beraksi pada Liga Super tahun lalu, dengan menjaringkan 14 gol bagi mencapai kedudukan kedua Liga Premier.
Dalam aksi Piala Malaysia pula, beliau bangga apabila menjaringkan lima gol menerusi lapan perlawanan, malah membantu kelab itu untuk layak ke suku akhir.
Namun, di sebalik penampilan cemerlang dalam perlawanan, kelab itu dilanda isu luar padang.
The Golden Hornbills sebelum ini berdepan dengan isu utama untuk pembayaran gaji tertunda.
Kelab itu terpaksa menyerahkan bayaran dan bukti penyelesaian tunggakan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bagi mendapatkan lesen penuh untuk bertanding musim ini.
Selain itu, pemain tempatan turut mengadu nasib mereka tidak dibayar gaji kepada Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM).
Sejak itu, kelab tersebut telah menemui kompromi dengan pemain bagi membuat rancangan pembayaran.
Agba berkata, isu itu telah diselesaikan dan dia mahu memberi tumpuan kepada bola sepak.
"Saya harap apa yang berlaku tahun lepas tidak berulang lagi. Rakyat Sarawak layak mendapat pasukan yang bagus. Kami menghabiskan masa untuk memastikan kami bermain dengan baik dalam Liga Super tahun ini.
"Saya percaya, walaupun pada usia ketika ini, saya boleh bermain bola sepak di pentas tertinggi, bukan sahaja di Malaysia malah di negara lain juga.
"Saya akan bekerjasama dengan rakan sepasukan untuk memastikan kelab kekal di Liga Super," katanya.
Agba berkata, pasukan itu telah merangka ramai pemain muda untuk menggantikan ketiadaan pemain utama seperti penyerang Norshahrul Idlan Talaha, bek tengah Taylor Regan, Badrul Affendy, Khair Jones; dan pemain tengah, Zahril Azri yang meninggalkan kelab itu musim ini.
Wajah muda skuad Piala Presiden ialah pemain pertahanan, Raja Imran Shah, Ahmad Tasnim Fitri, L. Kalaiharasan; pemain tengah Ahmad Khairil Anuar; dan penjaga gol Tauffiq Ar-Rasyid.
"Perjalanan anak-anak muda masih jauh dan kami perlu menggabungkan mereka secara berperingkat. Memberi mereka tanggungjawab untuk membantu pasukan kekal dalam Liga Super adalah satu permintaan yang besar, tetapi saya harap mereka dapat membuktikan kemampuan," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram