Calon naturalisasi pasang cita-cita jadi 'Jadon Sancho Malaysia'


  • Podium
  • Khamis, 03 Feb 2022

JAE CHONG bertekad mahu menempa nama di England. — Facebook

PEMAIN muda kacukan Malaysia-Jamaica, Kobe Jae Chong memasang impian untuk menjadi seperti idolanya iaitu bintang Manchester United, Jadon Sancho.

Menurut Jae Chong, sejurus perpindahannya ke Brentford dibatalkan pada saat-saat akhir sebelum ini, beliau lebih berazam untuk mengejar impian bergelar 'Sancho Malaysia'.

"Ia semestinya sesuatu yang membuatkan saya bekerja keras setiap hari.

"Sancho merupakan seorang pemain yang saya sering ikuti dan memandang tinggi beliau.

"Tidak ramai bintang Malaysia di negara ini dan untuk mereka mengikuti jejak langkah saya serta memberikan inspirasi menerusi perjalanan saya di sini tentunya memberi sesuatu yang hebat.

"Bagaimanapun, bola sepak berjalan dengan misteri. Suatu masa, saya mungkin bermain di mana-mana peringkat atau saya boleh hilang.

"Tetapi saya sangat yakin, saya boleh pergi jauh dalam bola sepak dan menempa nama untuk diri sendiri," katanya.

Perjalanan Jae Chong tidak seindah yang disangka. Ketika beraksi bersama skuad Bawah 16 (B-16) dan Bawah 17 (B-17) kelab Serie A, Cagliari, beliau tidak menerima layanan yang baik.

"Ia bukan satu tempat yang bagus untuk orang asing. Anda boleh dilayan begitu teruk.

"Anda dipaksa untuk menerima (kritikan) dan perlu membiasakan diri dengan situasi berkenaan. Saya tidak boleh berbahasa Itali pada masa itu dan saya rasa seperti dipinggirkan.

"Jurulatih B-17 kami akan menggunakan pemain yang sama setiap minggu. Beliau seperti Maurizio Sarri, beliau akan percaya pada kesebelasan utama yang sama sehingga akhir musim," ujarnya.

Jae Chong yang beraksi bersama Peterborough United dalam Liga Kejuaraan divisyen dua England itu menanam azam untuk menyarung jersi skuad kebangsaan terutama membabitkan pasukan Bawah 23 tahun (B-23) yang akan bersaing di pusingan akhir Piala Asia B-23 di Uzbekistan tahun ini.

"Saya bersedia untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan kerana perkara itu menjadi impian untuk berbakti kepada Malaysia.

"Jika diikutkan perancangan asal akan datang menyertai latihan pada 2019 untuk pasukan bawah 19 namun disebabkan pandemik Covid-19 terpaksa melupakan hasrat itu.

"Namun, setakat ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) belum lagi menghubungi saya untuk berbincang mengenai perkara itu (wakili Malaysia)," katanya dalam satu temubual bersama media tempatan tahun lalu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram