PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) pertama kali membuka pintu untuk pemain naturalisasi beraksi bersama skuad kebangsaan adalah pada 2018.
Ketika itu, pemain kelahiran Gambia, Mohamadou Sumareh merupakan pemain naturalisasi pertama negara selepas mendapat taraf kerakyatan Malaysia pada April 2018.
Sejak itu, pemain naturalisasi terus 'mewarnai' skuad Harimau Malaya seperti Liridon Krasniqi dan Guilherme de Paula.
Bagaimanapun, prestasi pemain naturalisasi seperti Krasniqi dan de Paula mencetuskan tanda tanya kepada para peminat bola sepak tanah air.
Mereka menjadi cemuhan para penyokong kerana gagal memberikan impak positif dalam beberapa perlawanan persahabatan dan kejohanan antarabangsa.
Baru-baru ini, pemilik kelab Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mencadangkan supaya program naturalisasi ini dihadkan kepada mereka yang berusia bawah 30 tahun bagi memastikan khidmat mereka boleh digunakan untuk jangka masa panjang.
Sependapat dengan Tunku Ismail, penganalisis sukan tempatan, Dr Pekan Ramli, menyatakan memang perlu ada had umur tertentu agar setiap pasukan dan juga skuad kebangsaan memiliki pemain naturalisasi yang masih mampu memberikan prestasi terbaik serta bukan berstatus 'ayam pencen'.
"Justeru kepada pasukan yang mampu mendapatkan pemain import, carilah mereka yang masih muda dan terbukti kehebatannya agar dapat guna untuk jangka masa panjang selain boleh dinaturalisasikan pada usia muda dengan mengambil kira syarat permastautin ditetapkan.
"Barulah ia akan menjadi satu pelaburan berbaloi ibarat 'alah membeli menang memakai'," katanya kepada Majoriti.
Mengulas lanjut, Pekan menasihatkan setiap pasukan agar tidak menjadikan negara ini popular dengan khidmat 'ayam pencen' atau 'kuda tua'.
"Jangan jadikan Liga Malaysia (Liga-M) sebagai tempat untuk 'lambakan barang-barang lama yang diimport' melainkan ia masih lagi dalam kategori barangan antik bernilai tinggi.
"Janganlah kita menjadi pembeli atau pemilik baharu, sedangkan ia tetap barangan lama yang susut nilainya dan tambah malang, selepas membeli baru sedar ia tidak berguna dan akhirnya terpaksa disimpan di stor," ujarnya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram