Hamidin jawab soal RM10 juta, liga pasukan simpanan


  • Podium
  • Rabu, 02 Feb 2022

HAMIDIN menjawab persoalan tentang sumbangan RM10 juta oleh kerajaan kepada FAM baru-baru ini. — Bernama

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini menerima peruntukan sebanyak RM10 juta daripada kerajaan bagi memantapkan lagi pembangunan bola sepak tempatan.

Bagaimanapun, kebanyakan peminat bola sepak tanah air mahu mengetahui apakah perancangan sebenar FAM berhubung sumbangan itu.

Mengulas tentang perkara itu, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, peruntukan itu akan digunakan untuk pengoperasian semua peringkat bola sepak tempatan.

"Wang itu akan digunakan untuk pembangunan akar umbi, liga futsal, skuad Harimau Malaya, Harimau Muda, pasukan bola sepak wanita dan peringkat belia.

"Saya sudah serahkan perkara itu kepada bendahari untuk menyusun kewangan berdasarkan peruntukan diberikan.

"Cuma saya tidak dapat menjawab untuk berapa tahun peruntukan itu akan diguna pakai, saya serahkan kepada bendahari," katanya kepada Majoriti.

Sewaktu ditanya tentang pembangunan akar umbi dan cadangan menubuhkan liga pasukan simpanan, Hamidin menjelaskan perkara itu perlu dijawab oleh Malaysian Football League (MFL).

"Mereka ada perancangan, jadi saya ingat anda kena tanya MFL kerana itu melibatkan soal pengurusan liga," ujarnya.

Sebelum ini, bekas pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim sebelum ini mendakwa Liga Malaysia (Liga-M) tidak mampu berkembang baik jika tiada pembangunan akar umbi di peringkat kelab termasuk kewujudan liga pasukan simpanan, Bawah 23 (B-23), Bawah 18 (B-18) dan Bawah 15 (B-15).

Teong Kim menegaskan ini kerana liga sampingan di setiap kelab boleh memberi ruang kepada pemain simpanan dan muda untuk kekal bersaing dan meningkatkan tahap permainan sebelum diserap ke pasukan utama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram