‘Jangan cakap banyak, Ronaldo’


  • Podium
  • Sabtu, 08 Jan 2022

RONALDO dilaporkan tidak gembira di United. — Reuters

BINTANG Manchester United, Cristiano Ronaldo diarahkan supaya ‘menutup mulut’ selepas dilaporkan memberi kata putus kepada kelab berhubung pelantikan pengurus tetap.

Pemain Portugal itu kembali ke Old Trafford dari Juventus pada jendela perpindahan musim panas, namun kepulangannya tidak seperti yang diharapkan.

United boleh dikatakan sudah tersingkir daripada perebutan kejuaraan liga dan kini berada lebih 20 mata di belakang pendahulu, Manchester City.

Pengurus Jerman, Ralf Rangnick dibawa masuk sebagai pengendali sementara sehingga akhir musim, dan United diberi tekanan tinggi daripada Ronaldo untuk mendapatkan pengganti tepat Solskjaer.

Walaupun Ronaldo mempunyai kontrak sehingga musim panas 2023, terdapat laporan yang mengatakan bahawa beliau tidak mahu terus bersama United jika isu berkaitan pengurus tidak diselesaikan dengan betul.

Tindakan Ronaldo itu menimbulkan kemarahan ramai pihak, dengan bekas pemain antarabangsa England, Trevor Sinclair turut mengecam pemain berusia 36 tahun itu.

Bekas kelab Sinclair, City hampir menandatangani Ronaldo pada musim panas sebelum United menyambar di saat-saat akhir.

Bekas pemain sayap itu bagaimanapun percaya bahawa City bertuah tidak menandatangani pemain itu ekoran masalah yang ditimbulkannya di Old Trafford.

"Saya mula berfikir bahawa Manchester City melakukan tindakan tepat dengan tidak menandatangani Cristiano.

“Jaga mulut anda kerana kadangkala itulah perkara terbaik untuk dilakukan. Beliau menimbulkan banyak masalah di kelab.

“Bagi saya, salah satu sebab Ronaldo tidak mahu ke Manchester City bukanlah kerana trofi, kerana dia akan memenangi banyak piala jika ke sana.

“Saya rasa dia tidak mahu berada di belakang Pep. Di United, Ronaldo merasakan dia boleh membuli Ole,” katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram