Liverpool tak layan permintaan Salah


  • Podium
  • Selasa, 18 Jan 2022

SALAH menuntut kenaikan gaji tetapi dilaporkan permintaannya tidak dipenuhi.

PENYOKONG Liverpool mungkin terpaksa melupakan impian untuk melihat Mohamed Salah kekal di Anfield selepas kontrak bintang Mesir itu dijangka tidak akan disambung.

Ini kerana Liverpool dikatakan enggan melayan tuntutan gaji Mohamed Salah yang akan tamat kontrak 18 bulan lagi, lapor The Mirror.

Penyerang berusia 29 tahun itu dikatakan menikmati gaji mingguan lebih 200,000 pound (RM1.14 juta) ketika ini.

Mesin gol Reds itu menuntut kontrak baharu yang akan membolehkannya menikmati gaji 400,000 euro (RM1.9 juta) seminggu selain meletakkan beberapa syarat lain termasuk kehadiran pemain baharu.

Seperti yang didedahkan pengurus Liverpool, Jurgen Klopp beberapa hari lalu, rundingan penyambungan kontrak Salah akan mengambil masa yang panjang kerana sangat rumit.

Ejen Salah bagaimanapun percaya, dengan prestasi hebat yang ditunjukkan Salah sejak tiba di Anfield pada 2017, permintaan itu tidaklah keterlaluan.

Ketika ini, penyerang Manchester United, Cristiano Ronaldo menjadi penerima gaji tertinggi dalam Liga Perdana Inggeris dengan 500,000 euro (2.4 juta) seminggu.

Jika gagal dalam rundingan dengan Salah, Reds berisiko kehilangan bintang berprofil tinggi yang telah membantu mereka merangkul kejuaraan Eropah dan Liga Perdana itu. – Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram