Ronaldo pertahan Rangnick, tahu apa masalah sebenar Man United


  • Podium
  • Khamis, 13 Jan 2022

RONALDO mahu rakan sepasukannya mempunyai mentaliti yang kuat ketika ini. — Agensi

PENYERANG Manchester United (Man U), Cristiano Ronaldo mendedahkan yang dia tahu apa masalah sebenarnya yang berlaku di dalam pasukannya kini.

Namun menurut Ronaldo, dia memilih untuk tidak mendedahkan apa masalah utama dan mahu pihak yang lebih sesuai untuk menyelesaikannya.

"Kita memang boleh lakukan perubahan dalam pasukan. Tetapi saya tidak tahu cara yang spesifik kerana saya hanya seorang pemain, bukan jurulatih atau presiden kelab.

"Saya tahu cara untuk menyelesaikan tetapi daripada segi etika, bukan saya yang sepatutnya memberikan cadangan itu," katanya.

Selain itu, Ronaldo juga didakwa sedang berfikir sama ada mahu terus kekal atau keluar daripada Man U.

Menurutnya, dia mengakui tidak mahu bersama kelab yang tidak mahu bersaing untuk mendapatkan kedudukan tertinggi dalam liga.

"Saya di sini kerana mahukan kemenangan. Kita memang bersaing tetapi tidak sampai ke tahap yang terbaik.

"Tetapi perjalanan kita untuk memperbaiki keadaan masih lagi jauh dan jika kita mampu melakukannya, kita boleh mencapai kejayaan yang sepatutnya," katanya.

Dalam pada itu, Ronaldo juga menolak daripada menyalahkan jurulatihnya, Ralf Rangnick yang dikatakan menjadi punca persembahan Man U merudum.

"Sebenarnya kita perlu mempunyai mentaliti yang tepat. Kita kena bersatu dan disebabkan itu juga nama pasukan ini adalah Manchester United.

"Rangnick masih perlukan masa untuk dia buktikan apa yang mampu dilakukannya untuk pasukan.

"Beberapa perubahan yang dilakukannya juga masih terlalu awal untuk kita nilai," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram