Rangnick tak peduli Ronaldo berang kena 'sub', tunggu jadi 'coach' nanti baru faham


  • Podium
  • Khamis, 20 Jan 2022

RONALDO marah ketika dibawa keluar Rangnick semasa menewaskan Brentford 3-1 di tempat lawan pada Khamis. — Agensi

BOS interim Manchester United, Ralf Rangnick berkata, reaksi Cristiano Ronaldo semasa digantikan ketika kemenangan 3-1 ke atas Brentford dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) adalah 'normal' walaupun penyerang itu kelihatan berang ketika digantikan.

Ronaldo digantikan Harry Maguire pada minit ke-71 apabila Rangnick beralih kepada tiga pertahanan tengah untuk memastikan kelebihan gol Man United di Brentford Community Stadium pada Khamis.

Kamera televisyen merakam Ronaldo yang melemparkan kotnya selepas keluar dari padang, serta Rangnick berbual dengan pemain berusia 36 tahun itu tidak lama kemudian. Marcus Rashford meletakkan pasukan itu 3-0 sejurus selepas itu.

"Itu perkara biasa... seorang penyerang mahu menjaringkan gol tetapi dia telah kembali daripada kecederaan kecil dan adalah penting untuk diingat kami mempunyai satu lagi perlawanan akan datang," kata Rangnick kepada BT Sport selepas perlawanan.

“Selain itu, selepas apa yang berlaku di Villa Park, kami terpaksa mempertahankan gol pendahuluan kali ini dan ia cukup penting untuk kami kembali kepada lima bek dan sementara kami tidak mengekalkan rekod bersih, adalah penting untuk memastikan tiada perkara lain berlaku.”

Dalam sidang akhbar selepas perlawanannya, Rangnick berkata, dia telah menjelaskan kepada Ronaldo mengapa dia mengambil keputusan untuk menggantikannya.

“Dia bertanya mengapa saya gantikannya, saya terangkan perlu mengambil keputusan demi kepentingan pasukan dan kami mempunyai situasi yang sama di Villa Park iaitu 2-0 dengan baki 15 minit sebelum bolos dua gol, jadi kami tidak mahu buat kesilapan yang sama sekali lagi," kata Rangnick.

“Saya memutuskan untuk beralih kepada lima bek dan membawa Marcus di sebelah kanan dan saya fikir ia adalah keputusan yang tepat.

"Ronaldo seorang penjaring gol yang dia mahu kekal dan menjaringkan gol tetapi bagi kami adalah lebih penting untuk kami kekal kompak.

“Apabila kami menjaringkan gol ketiga, saya berkata kepadanya mungkin apabila anda menjadi ketua jurulatih nanti, anda diharapkan akan membuat keputusan yang sama.

“Saya tidak sangka dia akan memeluk saya selepas digantikan, saya tahu bagaimana pemain yang menjaringkan gol berfikir dan bagaimana mereka bertindak tetapi saya perlu mengambil keputusan demi kepentingan pasukan.

"Saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan Cristiano, dia kembali daripada kecederaan dan tidak berlatih selama satu setengah minggu. Mengapa saya tidak perlu menggunakan pemain di bangku simpanan?" soal Rangnick.

Keputusan itu membolehkan Man United hanya dipisahkan dua mata daripada West Ham United yang berada di tempat keempat dengan 37 mata dan kedua-dua pasukan akan berentap di Old Trafford pada Sabtu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram