LIMA tahun dulu, Syafiq Ahmad menggegarkan kem Kedah Darul Aman (KDA) FC apabila membuat keputusan untuk merantau ke selatan tanah air bersama Johor Darul Ta'zim (JDT).
Sepanjang tempoh berkelana itu, penyerang berusia 26 tahun itu tampil dalam 34 perlawanan bersama JDT dan menyumbang enam gol.
Berbanding tempoh tiga tahun bersama Kedah apabila dinaikkan pangkat daripada skuad bawah 21 Hijau Kuning, Syafiq dilihat lebih tajam dengan sumbangan lima gol dalam 15 perlawanan.
Nama Syafiq mula menjadi sebutan apabila beraksi bersama skuad Piala Presiden Kedah selepas tamat pengajian pada 2013 sebelum mencipta nama bersama skuad utama Kedah.
Ketika itu, pemain kelahiran Pulau Pinang ini dilihat sebagai pemain yang bakal menyinar dengan bakat semula jadi yang dimilikinya.
Tetapi kelibatnya agak tenggelam ketika bersama JDT yang dibarisi pemain-pemain bintang lain.
Namun itu bukan penghalang buatnya menyinar dalam menimba pengalaman beraksi bersama JDT termasuk ketika menjuarai beberapa kejohanan tempatan dan turut beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara AFC.
Selepas empat tahun bersama JDT, musim 2022 Syafiq dipinjamkan kepada Kedah, sekali gus bakal menambah bisa serangan skuad Hijau Kuning.
Mengulas tentang kepulangannya bersama Kedah, Syafiq akui beliau berasa sangat gembira dan semuanya dalam keadaan baik bersama pasukan.
Malah Syafiq mengakui pasukan KDA FC yang ada ketika ini amat menyeronokkan sama ada di dalam atau luar padang.
"Alhamdulillah, semua okay. Team pun best. (Di) luar dalam (padang), dua-dua best," katanya kepada Majoriti.
Ditanya tentang harapannya bersama Kedah kali ini, Syafiq enggan menaruh harapan tinggi, tetapi mengharapkan dapat menyumbangkan persembahan terbaik dalam setiap perlawanan.
"Harapan tak letak tinggi, cuma bagi yang terbaik setiap game.
"Harap dapat layak pusingan seterusnya Piala AFC," katanya.
Untuk saingan Piala AFC 2022, Kedah diundi dalam Kumpulan G bersama juara Liga 1 Indonesia 2019, Bali United FC dan juara Copa Paulino Alcantara 2021, Kaya FC dari Filipina.
Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak menunggu satu lagi pasukan yang akan melengkapkan kumpulan itu iaitu pemenang perlawanan 'play-off' di antara pasukan dari Kemboja atau Laos. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram