PENYERANG kebangsaan, Syafiq Ahmad menyifatkan tempoh pinjamannya ke Kedah Darul Aman (KDA) FC dari Johor Darul Takzim (JDT) akan membantu persiapannya untuk bersedia beraksi bersama Harimau Malaya.
Pemain serba boleh berusia 26 tahun itu berkata, beliau langsung tidak teragak-agak untuk menyertai skuad Lang Merah selepas berbincang dengan ketua jurulatih, Aidil Sharin dan pihak pengurusan.
Perpindahan itu akan membawanya lebih dekat dengan keluarganya yang berada di Kedah. Apa yang paling penting adalah sedang sedang mencari rentak dan minit permainan untuk persediaan bagi mewakili pasukan kebangsaan.
“Ibu bapa saya merupakan pendorong saya dalam bola sepak. Mereka ada untuk saya dari mula hingga sekarang. Tidak lupa, isteri dan anak yang sentiasa menyokong dan menjadi inspirasi saya.
"Saya mahu memulihkan kembali semangat selepas insiden ngeri tahun lalu," katanya.
Disember lalu, Syafiq kehilangan dua orang tersayang dalam satu kemalangan jalan raya.
“Selepas tersingkir pada peringkat kumpulan Piala AFF Suzuki, saya lihat banyak perkara yang perlu dilakukan jika kami mahu layak ke Pusingan Akhir Piala Asia 2023. Saya mahu menjadi yang terbaik apabila kami bermain di pusingan ketiga kelayakan.
“Sasarannya adalah untuk layak ke Pusingan Akhir dan saya perlu berada pada tahap terbaik, bermula dengan bermain untuk Kedah dan beraksi sehingga tahap yang diinginkan untuk membantu semua orang termasuk diri sendiri,” jelasnya.
Beliau juga memuji KDA FC kerana bercita-cita tinggi dengan mengambil pemain muda daripada skuad Piala Presiden untuk mewakili pasukan utama musim depan.
“Ia adalah pasukan yang berbeza dengan ramai pemain muda. Seronok lihat Kedah bawa masuk budak-budak ini. Walaupun kehilangan pemain utama seperti Rizal (Ghazali) dan Bad (Baddrol Bakhtiar), saya percaya kelab akan kekal kuat dengan kehadiran pemain muda.
“Kedah sudah layak ke Piala AFC tiga musim berturut-turut dan saya berharap dapat melihat mereka mengekalkan standard itu. Dan apabila kami bermain di peringkat antarabangsa, kami mesti mempunyai cita-cita untuk ke peringkat kalah mati.”
Di sebalik kekurangan aksi bersama JDT musim ini, Syafiq merupakan salah seorang penyerang negara yang menyinar dalam kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022-Piala Asia 2023 dan Piala AFF Suzuki.
Beliau membawa fleksibiliti dalam pasukan dengan keupayaannya bermain sebagai perancang, penyerang dan pemain tengah. Beliau juga sangat rajin ketika berada di atas padang dan menggalakkan pemain lain bermain dengan lebih baik.
Memandangkan beliau bakal berkasi dengan lebih kerap bersama KDA FC, pemain yang lebih dikenali sebagai ‘Pit’ itu diharapkan dapat meraih semula statusnya sebagai salah seorang penyerang tempatan berbakat dan membantu kelabnya dan Harimau Malaya pada tahun depan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram