KONTROVERSI yang pernah menyelubungi ayam tambatan baharu Johor Darul Takzim (JDT), Fernando Forestieri sedikit sebanyak membimbangkan peminat fanatik The Southern Tigers.
Belum pun membuat penampilan sulung bersama JDT, rata-rata peminat khuatir penyerang import baharu itu lebih dipengaruhi sentimen luar padang.
Ia rentetan Forestieri pernah terpalit kontroversi selepas dituduh mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman tidak lama dahulu.
Insiden itu terjadi pada 2018 ketika pemain berusia 32 tahun Argentina itu bersama skuad Sheffield Wednesday.
Forestieri dikatakan mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman dan ugutan terhadap pemain pertahanan Mansfield Town, Krystian Pearce dalam perlawanan persahabatan pramusim di One Call Stadium, United Kingdom pada 24 Julai 2018.
ANTARA komen peminat JDT berhubung kehadiran Forestieri menjelang sepak mula Liga-M.
Tidak hairanlah, ada peminat yang khuatir penyerang itu didakwa panas baran, sekali gus mempersoalkan sama ada Forestieri berupaya menterjemahkan setiap percaturan taktikal JDT atau tidak.
Begitupun, Forestieri ketika mempertahankan dirinya di Mahkamah Majistret Mansfield ketika perbicaraan pada 28 Mac 2019 berkata, dia bukan seorang yang rasis.
"Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan (berbaur perkauman) itu. Saya bukan begitu. Saya berasa sedih kerana saya bukan rasis.
"Peraturan pertama dalam bola sepak ialah menghormati rakan sepasukan anda," katanya seperti dipetik Daily Mail.
Beliau seterusnya didapati tidak bersalah oleh mahkamah, namun FA England menggantung Forestieri selama enam perlawanan kerana mengeluarkan kata-kata berunsur perkauman.
Di sebalik kontroversi itu, Forestieri mempamerkan aksi cemerlang dalam kerjayanya bersama Sheffield Wednesday dari 2015 hingga 2020 selepas meledak 40 gol dalam 128 penampilan dengan kelab Inggeris itu.
NILAI pasaran semasa Forestieri setakat 28 Disember 2021 adalah kira-kira 900,000 euro. — Transfermarkt
Beliau juga dikatakan tonggak termahal Liga Malaysia (Liga-M) musim ini seperti yang dikeluarkan oleh laman web transfermarkt.com.
Menerusi semakan di laman web itu, nilai pasaran semasa Forestieri setakat 28 Disember 2021 adalah kira-kira 900,000 euro atau bersamaan dengan RM4.3 juta, sekali gus jauh lebih mahal berbanding pemain-pemain lain dalam Liga-M.
Nilai pasaran semasa beliau juga mengatasi kesemua pemain JDT, jadi tidak hairanlah statistik yang diterjemahkan penyerang kelahiran Rosario, Santa Fe, Argentina itu dijangka menjadi KPI utama buat pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam usaha memastikan kelab elit itu kekal dimartabatkan sebagai kuasa besar bola sepak tanah air berbanding kontroversi di luar padang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram