KEDAH Darul Aman (KDA) FC bakal mengumumkan perpindahan pemain pertahanan bekas Real Madrid C, Marc Vales dalam tempoh terdekat ke Darul Aman.
Malah dilaporkan Marc kini sudah berada di utara tanah air bagi melengkapkan perpindahan, sekali gus mengukuhkan barisan benteng skuad Helang Merah itu.
Pemain berusia 31 tahun itu pernah bermain dengan Real Madrid C (Castilla) pada tahun 2012 ketika umur beliau 22 tahun sebelum berpindah ke beberapa kelab lain.
Secara keseluruhannya, Marc sudah bermain bersama 15 kelab termasuk di Sepanyol, Finland, Andorra dan yang terakhir bersama kelab Sandefjord di Norway.
Dia sudah membuat 190 penampilan bersama kesemua kelab itu dan menjaringkan lapan gol serta menyumbang dua bantuan goal.
Untuk aksi bersama Andorra, pemain berketinggian 1.85 meter itu tampil dalam 77 perlawanan dengan empat gol dan dua bantuan gol.
Mengimbas kembali aksinya menentang England pada sesi kelayakan Piala Dunia tahun lalu, Marc melakukan 'kerja gila' apabila meminta seluar pemain pertahanan The Lions itu.
Kieran Trippier, pemain bek kiri England, berkongsikan aksi lucu di Instagram apabila dia menanggalkan seluar semata-mata mahu memberi pakaiannya itu kepada Marc selepas tamat perlawanan.
Sebaliknya, Marc memberi pemain bek England itu jersinya.
Dalam kapsyen Instagram-nya itu, Kieran berkata dia sudah kehabisan benda untuk diberikan kepada pemain Andorra.
Membalas hantaran Kieran itu, Marc berkata, "Terima kasih atas pertukaran ini. Ini merupakan impian melawan pasukan anda. Jumpa di Andorra bulan depan."
Pertukaran jersi merupakan perkara biasa dalam bola sepak, tetapi tindakan Marc meminta seluar Kieran itu diibaratkan sebagai luar biasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram