'Messi Kedah' ada sentimen peribadi bersama Kelantan


  • Podium
  • Selasa, 25 Jan 2022

MUHD Farhan sering dilanda kecederaan sehingga membantutkan peluangnya bermain di Kedah. — Facebook

PEMAIN baharu Kelantan FC, Muhd Farhan Roslan berhasrat mahu membantu The Red Warriors kembali beraksi di Liga Super bagi musim 2023.

Bagaimanapun, pemain yang diberi jolokan 'Messi Kedah itu' tidak mahu terlalu memberikan tekanan kepada dirinya dengan meletakkan sebarang sasaran peribadi bersama Kelantan sebaliknya lebih mahu berikan tumpuan mendapatkan rentak serta memburu minit permainan.

“Tidak ada sebarang sasaran peribadi buat diri ini seperti jumlah jaringan atau bantuan jaringan mahu dilakukan, sebaliknya saya hanya janjikan mahu berikan terbaik serta bekerja keras jika diturunkan,” katanya.

Tambah pemain berusia 25 tahun itu, kesukaran untuk bermain terutama dalam dua musim terakhir masih dirasai dan berharap situasi yang sama tidak lagi akan berlaku di Kelantan.

“Sebelum musim ini berakhir, saya sebenarnya sudah mendapat tawaran dari Kelantan dan setelah berbincang dengan keluarga, saya buat keputusan untuk datang ke sini.

“Saya sahut cabaran ini adalah kerana mahu mendapat pengalaman baharu dan paling penting meraih seberapa minit permainan bagi membina semula keyakinan serta mencari kembali momentum seperti dahulu.

“Semasa di Perak, sebenarnya saya tidak alami sebarang kecederaan yang membuatkan saya terpaksa berehat lama cuma mungkin bukan rezeki saya untuk bermain kerana seperti tidak berada dalam perancangan pasukan," katanya.

Musim lalu di Perak, dia yang dipinjamkan dari Kedah diturunkan dalam lapan perlawanan dan berjaya menjaringkan satu gol ketika membantu pasukannya membenam Sri Pahang FC 2-0.

Sementara itu, Muhd Farhan mengakui kehadiran beberapa bekas pemain Kedah seperti Khairul Helmi Johari, Osman Yusoff dan Shahrul Igwan Samsudin juga sesuatu yang positif namun perkara itu tidak menjadi keutamaan.

Ujar Muhd Farhan, dia boleh beraksi dengan sesiapa sahaja yang menjadi rakan sepasukannya serta semakin serasi dengan pemain-pemain lain yang berada di Kelantan.

“Bagi saya kehadiran rakan-rakan lama semasa di Kedah tidak memberikan apa-apa perbezaan kerana pemain lain juga umpama satu keluarga apabila saya rasmi bersama Kelantan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram