HUJAN lebat mula turun di Lembah Klang pada pagi Jumaat, berterusan sepanjang hari hingga ke malam. Tidak lama selepas hujan turun, media sosial dibanjiri rayuan memohon bantuan serta gambar dan klip video memaparkan kenaikan paras air serta kereta dan rumah yang ditenggelami bah di sesetengah kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur.
Penduduk Lembah Klang nyata tidak menduga bencana itu yang disifatkan oleh kerajaan sebagai kejadian sekali dalam seabad. Namun, jika jangkaan saintis iklim tepat, Malaysia berkemungkinan mengalami hujan yang lebih lebat dan kejadian banjir lebih banyak pada masa akan datang.