DANA berjumlah RM10 juta yang disumbangkan kerajaan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) adalah suatu keperluan memandangkan badan induk bola sepak itu mengalami kekangan sumber kewangan selepas terjejas akibat pandemik Covid-19.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kekangan sumber kewangan itu menyebabkan FAM sukar untuk beroperasi secara menyeluruh termasuk dari sudut penganjuran liga di peringkat akar umbi.
"Mereka (FAM) tidak mendapat pendapatan, iaitu hasil daripada penganjuran liga dan ini menyukarkan mereka untuk beroperasi dan atas sebab itu kerajaan membantu.
"Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sendiri tentunya akan beri kerjasama penuh kepada FAM untuk mempopularkan lagi sekali gus mengekalkan bola sepak sebagai sukan nombor satu di Malaysia,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Akademi Tunas Tambun Perak di Padang Awam Tanjung Rambutan, Ipoh, Perak pada Sabtu.
Pada 17 Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor berkata, dana sumbangan RM10 juta yang disalurkan kepada FAM membuktikan sokongan kerajaan kepada pembangunan bola sepak negara.
Ahmad Faizal turut menafikan dakwaan kononnya sumbangan kepada FAM itu menyebabkan kerajaan mengambil langkah memotong peruntukan yang sepatutnya disalurkan kepada sukan lain meskipun sukan-sukan tersebut lebih cemerlang dalam mengharumkan nama negara berbanding bola sepak.
"Kerajaan perlu berbelanja mengikut kemampuan. Itu sedang kami lakukan dan apa jua permasalahan kami sedang ambil perhatian yang serius dan akan memastikan ia dapat dirungkai secepat mungkin,” katanya.
Mengenai program pada Sabtu, beliau berkata, seramai 150 peserta cilik terdiri daripada kanak-kanak berusia 7 hingga 12 tahun menyertai sesi pemilihan untuk diserapkan dalam Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).
Beliau berkata, objektif utama penganjuran program berkenaan adalah untuk menggilap bakat muda sebagai pelapis yang bakal mewarnai arena bola sepak tanah air. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram