Sri Pahang FC berbeza musim ini — Nick Swirad


  • Podium
  • Isnin, 24 Jan 2022

SWIRAD menyertai skuad Tok Gajah pada pertengahan musim lalu dari kelab Thailand, Nongbua Pitchaya. — MFL

MUSIM 2021 pastinya mahu dilupakan buat pemain serta penyokong Sri Pahang FC apabila kelab itu hanya menduduki tangga kesepuluh liga, hanya dua mata di atas zon penyingkiran.

Namun, bagi pertahanan berdarah kacukan England-Malaysia, Nicholas Swirad, perkara itu menjadi motivasi buat beliau untuk berusaha lebih keras dan mengharapkan tahun 2022 akan menjadi detik kebangkitan semula skuad Tok Gajah.

Pemain yang berasal dari Manchester, England itu mengakui beliau tidak dapat menerima persembahan hambar pasukan pada musim lalu, namun optimis Sri Pahang bakal tampil berbeza musim ini.

Dengan kehadiran ketua jurulatih baharu dari Perancis, Christophe Gamel serta pemain-pemain baharu terutamanya import seperti Johan Martial dan Mahmoud Za’tara, Swirad berkata, sesuatu yang positif sedang berlaku di kem Sri Pahang.

“Bagaimanapun, segala perubahan itu tidak boleh berlaku dalam satu malam sahaja walaupun pasukan telah alami perubahan dengan pemain dan jurulatih yang baharu.

“Segala-galanya perlu melalui perubahan secara berperingkat namun proses yang sedang berlaku dalam pasukan sememangnya menunjukkan kami sedang menuju ke arah yang tepat.

“Bersama Gamel, banyak pertukaran telah berlaku termasuk corak latihan dan beliau seorang yang begitu tegas dengan semua pemain, saya rasa ini sememangnya perubahan diperlukan dalam pasukan.

“Mungkin segala perkara ini akan sukar di awalnya namun saya yakin segala perkara ini akan memberikan pulangan jangka panjang kepada Sri Pahang,” katanya.

Swirad menyertai skuad Tok Gajah pada pertengahan musim lalu dari kelab Thailand, Nongbua Pitchaya dan melakukan 14 penampilan bersama pasukan.

Pertahanan berusia 30 tahun itu sering digandingkan dengan Herold Goulon atau Muslim Ahmad di barisan pertahanan tengah.

Walaupun sedar saingan sengit di bahagian pertahanan tengah pasukan, beliau berazam untuk terus bersaing bagi mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama.

“Musim ini saya nampak, pertahanan lebih kuat malah teruja berpeluang untuk bermain dengan Johan yang sememangnya mempunyai rekod begitu hebat sebagai seorang pemain.

“Tidak dilupakan pemain-pemain lain seperti Amirzafran dan Muslim, saya rasa semua pemain yang berada di Sri Pahang adalah yang terbaik.

“Jadi sudah tentu saya kena tingkatkan usaha jika mahu menjadi salah seorang pemain yang sentiasa berada dalam perancangan jurulatih untuk musim ini,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram