Amaran buat Pan-gon!


  • Podium
  • Ahad, 23 Jan 2022

PAN-gon disifatkan memiliki rekod dan reputasi yang tinggi sebagai jurulatih. — Facebook

PEMERHATI bola sepak tempatan mengharapkan ketua jurulatih baharu kebangsaan, Kim Pan-gon memberi layanan sama rata kepada semua pemain tanpa wujud sebarang 'status kayangan' atau 'kasta' dalam skuad Harimau Malaya.

Ujar Dr Pekan Ramli, jurulatih dari Korea Selatan dilihat lebih berprinsipal dan berintegriti tinggi serta sering meletakkan disiplin tinggi dan pasukan berada pada tahap tertinggi.

"Namun kejayaan skuad kebangsaan bukan hanya bergantung kepada faktor jurulatih sahaja.

"Jurulatih hebat dari planet lain sekali pun, tetapi jika pemain negara yang terpilih dengan gaji puluhan ribu ringgit serta datang latihan dengan kereta mewah namun 'tiada hati' untuk bermain bermati-matian di atas padang demi lencana di dada, tiada guna," katanya kepada Majoriti.

Screenshot 2022-01-22 195012

PEMAIN kebangsaan perlu bermain bermati-matian demi lencana di dada tanpa mengira siapa jurulatih. — Facebook FAM

Pekan turut berharap agar pelantikan Pan-gon bukan satu tindakan populis semata-mata desakan para peminat yang mahu melihat Malaysia dilatih seperti negara jiran seperti Vietnam dan Indonesia yang menggunakan khidmat jurulatih dari Korea Selatan.

"Biarlah pelantikan itu benar-benar dibuat untuk memastikan akan berlaku keajaiban pada pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 Jun kelak," ujar beliau.

Ketika ditanya sama ada Pan-gon merupakan calon paling sesuai mengemudi Harimau Malaya ketika ini, Pekan berkata sesiapa pun yang dipilih untuk Harimau Malaya akan melalui cabaran getir kerana risiko berdepan dengan kegagalan sentiasa berada pada tahap yang tinggi.

"Senario bola sepak hari ini sememangnya mendedahkan mana-mana jurulatih dengan pelbagai kecaman dan maki hamun peminat. Apatah lagi jika pasukan kebangsaan kelak terus berdepan kegagalan demi kegagalan.

"Namun saya yakin Pan-gon memiliki reputasi yang tinggi serta rekod pencapaian yang sukar disangkal lagi. Beliau pastinya sudah 'study' sebaik-baiknya sebelum bersetuju untuk menyahut 'cabaran' Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Pasti beliau sudah memahami selok-belok dan 'sepak terajang' bola sepak Malaysia. Jadi saya 'tabik' pada Pan-gon atas keberanian beliau."

Screenshot 2022-01-22 195036

PEMAIN skuad negara bakal diterapkan elemen kejurulatihan yang berbeza di bawah kendalian Pan-gon. — Facebook FAM

Tambah Pekan, banyak kelebihan yang boleh dilihat melalui pelantikan Pan-gon.

"Antaranya, beliau membawa pasukan kejurulatihan bersamanya ke sini. Ini satu kelebihan kepada mana-mana jurulatih khususnya jurulatih asing untuk mendapat 'staf sokongan' yang benar-benar dipercayai keupayaan serta kebolehan secara individu dalam membantu beliau membuat segala perancangan.

"Dalam konteks kualiti kejurulatihan pula jurulatih-jurulatih dari Korea Selatan sememangnya terbukti mampu menerapkan falsafah permainan serta cara bermain bola sepak yang mampan kepada setiap pasukan yang dibimbing mereka seperti dibuktikan oleh jurulatih Korea Selatan bersama skuad kebangsaan Vietnam dan Indonesia.

"Ternyata mereka menerapkan kaedah kejurulatihan yang konsisten serta lebih komprehensif. Itulah faktor utama dalam Liga Korea, tiada jurulatih import digunakan.

Pan-gon pasti akan menerapkan kelebihan-kelebihan ini kepada pasukan Harimau Malaya terutama untuk menentang musuh terdekat negara jiran Asia Tenggara kerana mereka datang daripada 'sepeguruan' yang sama," menurutnya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram