'Melampau', Najib komen isu BAM-Zii Jia


  • Podium
  • Sabtu, 22 Jan 2022

NAJIB menganggap tindakan yang dikenakan terhadap Zii Jia sebagai sesuatu yang melampau.

TINDAKAN yang diambil Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menggantung Lee Zii Jia disifatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai satu hukuman yang melampau.

Najib berkata, tindakan itu juga membuatkan negara menjadi tumpuan dan sasaran bagi kecaman dunia sukan kerana dilihat bertindak secara tidak munasabah dan penuh dengki hingga memakan diri.

"Melarang Zii Jia untuk bermain untuk negara selama dua tahun adalah satu hukuman yang melampau kerana karier seorang atlet adalah pendek.

"Saya faham antara sebab Zii Jia keluar BAM ialah dia sudah ada penaja sendiri dan mahukan jurulatih sendiri.

"Saya juga faham bahawa BAM kecewa sebab mereka sudah melabur untuk latih Zii Jia sejak dia berusia 13 tahun.

"Namun BAM bukanlah sebuah syarikat komersial yang inginkan pulangan bagi pelaburan mereka," katanya.

Menurut Najib, misi BAM adalah untuk pertingkatkan prestasi sukan badminton negara dan bukan untuk mendapat pulangan komersial.

Jelasnya, sebagai cara penyelesaian, mungkin BAM boleh berunding dengan Zii Jia serta Goh Jin Wei dan penaja mereka untuk tuntut ganti rugi yang munasabah.

"Dulu, bekas pemain nombor satu dunia, Roslin Hashim pernah membayar pampasan hampir RM68,000 untuk keluar BAM pada tahun 1996. Tak sampai pula untuk melarang dia untuk bermain bagi negara masa itu," katanya.

Terdahulu, Zii Jia yang juga Juara All England 2021 yang kini menghuni ranking ketujuh dunia membuat keputusan meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk bergerak sebagai pemain profesional.

Justeru, BAM pada Jumaat membut keputusan untuk menggantung pemain itu daripada beraksi di peringkat antarabangsa bermula 18 Januari 2021.

Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos berkata, Zii Jia bagaimanapun masih diberi peluang untuk membuat rayuan dan masih ada ruang untuk beraksi demi negara.

"Jika rayuan dibuat dan diterima atas beberapa sebab termasuk melibatkan semangat negara, berkemungkinan besar masih boleh beraksi di peringkat antarabangsa," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram