SEBANYAK enam pemain skuad JDT II dipanggil untuk mewakili skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan untuk beraksi di Kejuaraan B-23 Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022 di Phnom Penh, Kemboja pada Februari depan.
Enam pemain itu ialah ialah T. Shaheeswaran, Alif Abdul Mutalib, Aysar Hadi, Umar Hakeem, Shafi Azswad dan Daryl Sham.
Selain itu, pemain yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Wan Ahmad Kuzri Wan Ahmad Kamal sekali lagi mendapat peluang untuk membuktikan kehebatannya bersama pasukan negara.
Beliau antara 30 pemain dipanggil Ketua Jurulatih skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan, Brad Maloney untuk menyertai kem latihan pusat bermula 27 Januari ini sebagai persiapan menghadapi Kejuaraan B-23 Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022 di Phnom Penh, Kemboja pada Februari.
Kali terakhir pemain tengah berusia 20 tahun itu menyertai kem latihan pusat pasukan negara adalah bersama skuad Bawah 19 Tahun (B-19) kebangsaan kendalian Maloney pada Ogos 2020.
Daripada 30 pemain itu, Maloney hanya mengekalkan sembilan pemain daripada skuad yang mencipta kejayaan layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2022 selepas mengungguli saingan kumpulan pusingan kelayakan di Mongolia pada 2021.
SENARAI penuh pemain yang dipanggil untuk beraksi di Piala AFF.
Sembilan pemain itu adalah Muhamad Umar Hakeem Suhar Rezwan, Muhamad Shafi Azswad Sapari, Muhammad Faiz Amer Runnizar, Muhammad Fahmi Daniel Mohd Zaaim, Azhad Harraz Arman, Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin, T. Saravanan dan Mohd Aiman Afif Md Afizul.
Penyerang muda sensasi negara Luqman Hakim Shamsudin yang bermain untuk kelab Liga Belgium KV Kortrijk bagaimanapun tidak berada dalam senarai 30 pemain dan juga senarai pemain yang diminta bersedia dipanggil pada bila-bila masa.
Skuad B-23 kebangsaan dijadual berlepas ke Phnom Penh pada 12 Februari sebelum memulakan kempen kejuaraan menentang Myanmar dalam aksi pembukaan Kumpulan B di Stadium Prince pada 15 Februari.
Anak buah Maloney kemudian akan berdepan Laos pada 18 Februari di venue sama dan bertemu Indonesia dalam aksi terakhir kumpulan di Stadium Nasional Morodok Techo pada 21 Februari.
Tiga juara kumpulan dan pasukan naib juara kumpulan terbaik akan mara ke peringkat separuh akhir pada 24 Februari manakala perlawanan akhir dijadual berlangsung pada 26 Februari.
Sementara itu, lima pemain yang diletakkan dalam senarai simpanan adalah dua pemain JDT III Muhammad Firdaus Kaironnisam dan Muhammad Najmuddin Akmal Kamal Akmal, dua pemain Penang FC K. Thivandaran dan Aidil Danial Izhar serta pemain KL City FC Nabil Hakim Bokhari. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram