KELAB Liga Super, Melaka United agak perlahan dalam jendela perpindahan musim ini akibat masalah tunggakan gaji yang membelenggu pasukan.
Baru-baru ini, kelab itu baru sahaja menyelesaikan masalah tunggakan gaji yang dilaporkan sehingga tiga bulan setelah melalui proses penstrukturan kewangan dan pentadbiran.
Menurut pengurusan kelab, setelah melunaskan semua hutang terbabit, fokus kini beralih kepada mempersiapkan pasukan bagi menghadapi musim baharu Liga Malaysia.
Kini, skuad Hang Tuah kembali aktif memburu beberapa pemain sebelum tempoh pendaftaran pertama pemain tutup pada 14 Februari depan.
Melaka United dilaporkan bakal membawa masuk empat bekas pemain Penang FC bagi memperkuat pasukan untuk saingan musim baharu.
Pertahanan yang dipinjam dari KL City FC, Fauzan Fauzi; pemain tengah, Fadhil Idris serta dua penjaga gol, Ahmad Asyraaf Omar dan Bryan See merupakan nama yang dilaporkan bakal berpindah ke Stadium Hang Jebat.
Difahamkan, keempat-empat pemain ini akan diumumkan dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, dua pemain import, Sony Norde dan Adriano Narcizo akan terus kekal bersama pasukan selepas menandatangani lanjutan kontrak baharu.
Norde sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke Kedah Darul Aman (KDA) FC, namun rundingan tidak berjaya selepas kelab itu memutuskan untuk membawa masuk pertahanan, Marc Vales. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram