Netizen 'merusuh' susulan sidang media FAM


SIDANG media oleh FAM pada Jumaat bagi menjawab segala kontroversi bola sepak tanah air. — Bernama

SELEPAS dikecam teruk warganet ketika majlis pecah tanah pembinaan ibu pejabat baharunya di Presint 5, Putrajaya pada Isnin, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sekali lagi mencuri tumpuan peminat bola sepak tanah air.

Warganet pada Jumaat 'merusuh' di media sosial susulan sidang media FAM berhubung laporan bedah siasat skuad Harimau Malayat dan antara perkara yang mendapat tumpuan termasuk peletakan jawatan pengurus Harimau Malaya, Datuk Mohd Yusoff Mahadi serta pelantikan jurulatih baharu dari Korea Selatan.

Rata-rata netizen bengang dengan sidang media FAM kerana tidak mencapai apa yang peminat bola sepak tanah air harapkan termasuk rombakan atau peletakan jawatan pihak pengurusan badan induk bola sepak negara itu.

Siaran langsung di laman Facebook FAM, mendapat reaksi lebih 1,900 tanda marah daripada keseluruhan 3,600 reaksi dan lebih 9,200 komen membanjiri platform tersebut,

Malah di ruangan komen juga menyaksikan rata-rata netizen mengkritik pengurusan FAM.

komen netz FAM

TANGKAP layar komen-komen dari warganet

"Semua individu dalam FAM harus berundur. Mari kita dapatkan pasukan baharu untuk menjalankan pengurusan bola sepak. Pasukan FAM sekarang telah wujud terlalu lama tetapi tidak menghasilkan apa-apa. Renung-renungkan pasukan Hamidin!," ujar pengguna Facebook, Kiat Hin Chiang.

"Sudah-sudah lah. KPI mereka yang jawatan tinggi dalam FAM tidak ke mana. Sudah lama selesa duduk di kerusi empuk. Negara lain untuk pencapaian KPI, jika tiada pencapaian meningkat dengan relanya bermaruah undur bagi laluan untuk diganti. Sudah masanya pemilihan dalam FAM distruktur semula. #gagal. Entahlah Malaysia bola sepak kita ke arah mana. Sudah lama dah, sekarang tahun 2022, berubahlah," kata pengguna Facebook, Esey Shamsul.

"Aku dah tidak reti dengan persatuan bola kita ini. Sudah semakin tidak relevan. Bagilah duit banyak mana pun. Tahap itu jugalah. Diwar-warkan akan itulah inilah. Makin tiada apa. Konon Piala Dunia. Piala Asia Tenggara pun tercungap-cunga. Kami sudah sokong sepenuh hati. Macam sudah tiada semangat juang. Tolong rancang sesuatu. Kita cukup segalanya. Semoga pihak persatuan bola sepak Malaysia dan negeri dapat buat sasaran yang lebih mantap untuk 10 tahun akan datang. Sayang sungguh jika tidak ambik peluang tu," komen Kamurul Roslan.

Dalam pada itu, ada juga yang memberi komen berhubung pelantikan ketua jurulatih baharu dari Korea Selatan dan berharap agar pihak pengurusan tidak masuk campur dengan keputusan jurulatih.

"LTK (Lim Teong Kim) itu sedia ada. Pengalaman luas. Orang lain juga diambil. Sangat beza orang yang penting bola dan penting duit," kata Hairul Asyraf.

"Biar saja jurulatih nak pilih pemain dia. Jangan nanti ada pihak tidak lepaskan pemain pula," komen Muhammad Franz Firdauz.

"Dengan kontrak dua tahun ini harap tiada tangan ajaib yang masuk campur. Biar barisan kejurulatihan baharu buat analisis dan pemilihan sendiri. Harap ada yang terbaik dari jurulatih baharu," kata Ikhsan Ekin. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram