Hanya 30 minit sesi 'siasatan' bersama Cheng Hoe


  • Podium
  • Jumaat, 21 Jan 2022

CHENG Hoe meletakkan jawatan sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya pada 3 Januari lalu. — AZMAN GHANI/ The Star

BEKAS ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe hanya meluangkan masa 30 minit untuk membantu jawatankuasa siasatan bebas berhubung kegagalan skuad negara di Piala AFF Suzuki 2020.

Ketua Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya, Datuk Dell Akbar Khan berkata maklumat itu diperolehi menerusi panggilan kepada Cheng Hoe.

"Cheng Hoe tidak mahu ditemuduga, tidak mahu hadir (secara bersemuka).

"Tapi saya berterima kasih dia (Cheng Hoe) menjawab panggilan saya," katanya pada sidang media laporan bedah siasat skuad Harimau Malaya di Wisma FAM pada Jumaat.

Dalam pembentangan laporan itu, Dell berkata, terdapat 10 dapatan hasil siasatan punca kegagalan skuad negara dalam kempen Piala AFF Suzuki 2020 di Singapura pada Disember lalu.

Antaranya termasuk ketiadaan pemain utama yang dipercayai berpunca akibat kelemahan proses komunikasi di antara ketua jurulatih dan pengurusan pasukan serta Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan.

Ini kata Dell, Cheng Hoe beranggapan tidak mendapat sokongan apabila beliau menamakan beberapa ‘core players’ daripada kelab-kelab tertentu.

"Pengurusan pasukan pula kelihatan tidak berani untuk memberikan sokongan kepada pemilihan beliau ketika Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM menegaskan bahawa isu sebegitu tidak timbul kerana mana-mana pemain pun boleh diperolehi oleh ketua jurulatih untuk dipilih beliau.

Selain itu, Dell berkata, tempoh persiapan yang singkat dan pandemik Covid-19 dipercayai menjadi punca kegagalan skuad negara.

"Penetapan sasaran dan kemampuan pemain juga menjadi faktor yang menyumbang kepada prestasi skuad Harimau Malaya di Singapura," katanya.

Dell berkata, empat lagi dapatan hasil bedah siasat itu termasuk percaturan taktikal, kekurangna pasukan sokongan, keharmonian sesama pemain, pemilihan pemain naturalisasi dan kebajikan pemain.

Hasil dapatan penuh laporan bedah siasatan itu boleh didapati menerusi laman web rasmi FAM. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram