Harimau Malaya berpecah tiga kem — Badan siasatan


  • Podium
  • Jumaat, 21 Jan 2022

SKUAD negara terkandas di peringkat kumpulan kejohanan Piala AFF Suzuki hujung tahun lalu.

PEMAIN Harimau Malaya berpecah kepada tiga kem semasa menyertai kempen Piala AFF Suzuki 2020, dedah bahagian siasatan FAM.

Menurut Ketua Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya, Datuk Dell Akbar Khan berkata, kem itu melibatkan pemain tempatan, pemain naturalisasi dan pemain kacukan.

"Wujud kurangnya (suasana) harmoni dalam pasukan semasa di Singapura (kerana) sudah ada tiga kumpulan iaitu pemain tempatan, pemain naturalisasi dan pemain kacukan.

"Ini yang dilaporkan oleh pemain apabila kita wawancara mereka. Tetapi mengikut merekakuga, kurang ada usaha untuk membetulkan semula keadaan.

"Bila ada tiga kumpulan yang berasing dalam pasukan, ini tidak bagus untuk semangat berpasukan," katanya pada sidang media laporan bedah siasat kegagalan skuad Harimau Malaya di kempen Piala AFF Suzuki.

Dalam pembentangan laporan itu, Dell berkata, terdapat 10 dapatan hasil siasatan punca kegagalan skuad negara dalam kempen Piala AFF Suzuki 2020 di Singapura pada Disember lalu.

Antaranya termasuk ketiadaan pemain utama yang dipercayai berpunca akibat kelemahan proses komunikasi di antara ketua jurulatih dan pengurusan pasukan serta Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan.

Ini kata Dell, Cheng Hoe beranggapan tidak mendapat sokongan apabila beliau menamakan beberapa ‘core players’ daripada kelab-kelab tertentu.

"Pengurusan pasukan pula kelihatan tidak berani untuk memberikan sokongan kepada pemilihan beliau ketika Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM menegaskan bahawa isu sebegitu tidak timbul kerana mana-mana pemain pun boleh diperolehi oleh ketua jurulatih untuk dipilih beliau.

Selain itu, Dell berkata, tempoh persiapan yang singkat dan pandemik Covid-19 dipercayai menjadi punca kegagalan skuad negara.

"Penetapan sasaran dan kemampuan pemain juga menjadi faktor yang menyumbang kepada prestasi skuad Harimau Malaya di Singapura," katanya.

Dell berkata, empat lagi dapatan hasil bedah siasat itu termasuk percaturan taktikal, kekurangna pasukan sokongan, keharmonian sesama pemain, pemilihan pemain naturalisasi dan kebajikan pemain.

Hasil dapatan penuh laporan bedah siasatan itu boleh didapati menerusi laman web rasmi FAM. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram