PEMAIN baharu Sarawak United, Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri atau lebih dikenali sebagai Beto mahu membuktikan kemampuan sebenarnya bersama kelab Borneo itu selepas bergelut sejak beberapa musim ini.
Ketika berusia 20 tahun, Beto pernah dianggap sebagai salah seorang bintang masa hadapan buat Perak FC apabila sering menampilkan persembahan memberangsangkan di bawah kendalian mendiang Karl Heinz Weigang.
Beliau sering membarisi kesebelasan utama Perak dan pernah dipanggil untuk mewakili Harimau Malaya pada 2017 bagi pusingan kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019.
Namun, beliau bergelut dalam beberapa musim terakhir bersama The Bos Gaurus dan sering digunakan sebagai pemain gantian.
Beliau kemudian berhijrah ke pasukan Petaling Jaya (PJ) City FC pada musim lalu, tetapi gagal memberikan impak yang diharapkan.
“Tidak dinafikan akibat kurang bermain dalam tempoh beberapa musim terakhir ini termasuk semasa di Perak, keyakinan saya sudah sedikit sebanyak ada rasa terjejas.
“Di PJ City, mungkin ada pemain yang lebih bagus di posisi tengah atau corak permainan saya tidak begitu masuk dengan corak taktikal yang menjadikan sukar untuk saya beraksi sepanjang musim lalu," katanya.
Walaupun tidak mendapat banyak minit permainan semasa di PJ City FC, Beto tidak berputus asa dan mahu terus membuktikan keupayaannya bersama Sarawak United.
Beliau juga mahu membalas kepercayaan yang diberikan ketua jurulatih, E. Elavarasan serta Pengarah Teknikal, B. Satiananthan yang memberinya peluang untuk terus beraksi di peringkat tertinggi.
"Semangat untuk saya berjuang bagi mendapatkan kembali rentak seperti dahulu masih belum hilang dan selagi ada peluang, saya sama sekali tidak akan berputus asa.
“Jadi, saya hadir ke Sarawak United untuk membuktikan semula siapa diri saya dan saya menganggap ini sebagai peluang kedua dalam karier," ujarnya.
Bagaimanapun, Beto mengakui beliau harus bekerja keras bagi merebut tempat di bahagian tengah pasukan yang dibarisi pemain berbakat seperti Stuart Wark dan Raja Imran Shah.
“Sebelum saya memikirkan pemain lain, saya kena perbaiki terhadap apa yang kurang terhadap diri ini jika mahu mendapatkan tempat dalam pasukan.
“Saya boleh bermain di posisi 6 atau 8 di bahagian tengah, kedua-duanya saya tidak berdepan sebarang masalah dan semuanya terpulang kepada perancangan jurulatih,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram