KEPUTUSAN Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menggantung Lee Zii Jia daripada terlibat dengan sebarang perlawanan antarabangsa selama dua tahun mengundang reaksi pelbagai pihak.
Antara yang memberi respons terhadap isu penggantungan pemain perseorangan badminton lelaki utama negara termasuk Viktor Axelsen, juara kejohanan Olimpik Tokyo 2020.
Melalui ciapan di Twitternya, Axelsen berpendapat keputusan BAM itu seperti tidak masuk akal dan menyamakan situasi pemain negara itu dengan keadaan seseorang yang ingin berhenti kerja.
TANGKAP layar ciapan Twitter Viktor Axelsen
"Bayangkan diri anda berada dalam kedudukan di mana anda tidak berasa gembira di tempat kerja dan anda mahu sesuatu perubahan. Anda pergi memberitahu perasaan anda kepada bos yang anda mahu berhenti serta ingin mencari kerja di tempat lain.
"Namun, bos anda tidak berpuas hati dengan keputusan anda dan disebabkan mereka mempunyai kuasa untuk melarang anda daripada memohon pekerjaan lain, mereka terus berbuat demikian. Anda hanya mampu perlu tunggu dan lihat," tulisnya.
Pemain Denmark itu di bebenang Twitternya juga memuat naik tangkap layar yang menyatakan Badminton World Federation (BWF) tidak mempunyai sebarang komen mengenai alternatif lain jika seseorang pemain itu ingin bermain profesional.
Dalam tangkap layar itu juga menyatakan, Zii Jia perlu membuat rundingan dengan pihak BAM jika ingin bermain secara profesional.
"Dengar sahaja betapa gilanya ini. Ini tahun 2022. Adakah ini yang kita mahukan untuk sukan kita?, " kata Axelsen.
Dalam pada itu, para peminat badminton negara mengucapakan terima kasih kepada Axelsen kerana mengambil berat perihal Zii Jia.
Pada Khamis, Axelsen juga membuat hantaran di Instagram untuk menyokong keputusan Zii Jia meninggalkan BAM supaya dapat bergerak sebagai pemain profesional. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram