PENYERANG muda Johor Darul Ta'zim (JDT), Syafiq Ahmad masih belum pasti kekal bersama skuad Harimau Selatan.
Difahamkan, pemain berusia 26 tahun itu menjadi buruan Kuala Lumpur City (KL City) dan Kedah Darul Aman (KDA) FC sebagai pemain pinjaman pada musim depan.
Tetapi masih ada belum pengumuman rasmi sama ada pemain kelahiran Pulau Pinang itu akan meninggalkan JDT.
Sedih dengan nasib yang menimpa pemain berbakat itu, bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim berharap JDT dapat melepaskan Syafiq untuk terus bermain dengan mana-mana kelab sama ada secara kekal atau sebagai pemain pinjaman.
"Syafiq merupakan pemain yang bagus dan memerlukan lebih banyak minit permainan untuk mematangkan kemahirannya.
"Saya harap dia dapat main dengan pasukan lain sama ada JDT melepaskannya secara pinjaman," katanya kepada Majoriti.
Teong Kim mengulas perkara itu selepas ketika menjawab tentang prestasi pemain negara ketika beraksi di kejohanan Piala AFF Suzuki 2020 baru-baru ini.
Syafiq antara pemain yang tersenarai dalam skuad Harimau Malaya ke Singapura, tetapi pemilihannya menjadi sebutan penyokong kerana kurang beraksi untuk JDT sepanjang musim ini.
Dia hanya beraksi dalam lima perlawanan iaitu empat Liga Super dan satu Liga Juara-Juara Asia, dan gagal mencetak sebarang gol dalam kesemua penampilan.
Berdasarkan rekod dalam perlawanan Piala Malaysia, Syafiq mempunyai jumlah minit permainan yang rendah, namun sempat diturunkan pada perlawanan akhir menentang KL City di Stadium Nasional Bukit Jalil baru-baru ini.
Pinjaman ke kelab lain akan memberi beliau peluang beraksi dalam perlawanan kompetitif dengan lebih kerap, sekali gus membantu menampilkan aksi yang lebih baik di pentas antarabangsa bersama skuad Harimau Malaya.
Untuk rekod, prestasi Syafiq dilihat merudum selepas beliau terbabit dalam kemalangan jalan raya tragis pada Disember tahun lalu.
Dalam kemalangan itu, tiga ahli keluarganya maut selepas kenderaannya terbabas dan melanggar pembahagi jalan dalam kejadian di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Sungai Bakap, Pulau Pinang.
Ogos tahun ini, Syafiq juga teruk dibidas oleh TMJ apabila beliau meluahkan secara terbuka di laman sosial bahawa dirinya merindui untuk beraksi semula di atas padang.
TMJ pada masa itu menegaskan, pemilihan pemain dalam skuad utama dibuat berdasarkan prestasi semasa dan setiap pemain harus berusaha untuk meraih tempat dalam pasukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram