Syafiq sah tinggalkan JDT, kembali ke pangkuan Kedah pulihkan prestasi


  • Podium
  • Ahad, 26 Dis 2021

KONTRAK pinjaman ini sudah pasti memberi suntikan motivasi buat Syafiq untuk lebih cemerlang di musim 2022. — Facebook

SELEPAS empat tahun meninggalkan Kedah, Syafiq Ahmad kembali ke pangkuan skuad Lang Merah selepas dipinjamkan oleh Johor Darul Takzim (JDT) selama semusim.

Kepulangan penyerang berusia 26 tahun itu diumumkan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menerusi satu hantaran di Facebook pada Ahad.

Pemain yang berasal dari Sungai Ara, Pulau Pinang itu merupakan watak yang cukup dikenali oleh peminat bola sepak di Kedah dan Malaysia.

Mula mencipta nama di peringkat remaja bersama SMK Tunku Anum, beliau mula mencuri perhatian selepas diserap masuk ke skuad Piala Presiden Kedah selepas tamat pengajian pada musim 2013 dan antara pemain muda berusia 18 tahun yang mula mencipta nama bersama skuad utama Kedah.

Bersama pasukan Kedah ketika itu, Syafiq turut mewakili pasukan kebangsaan dan seterusnya mendapat tawaran untuk bersama skuad JDT FC.

Pengalaman beliau yang beraksi bersama pasukan selatan tanah air itu cukup besar selepas menjuarai piala beberapa kejohanan tempatan dan turut beraksi di saingan AFC Champions League.

Selepas empat tahun bersama JDT FC, musim 2022 Syafiq dipinjamkan kepada KDA FC dan kepulangan beliau bukan hanya memberi suntikan positif di bahagian serangan malah turut mendapat sambutan hebat oleh semua penyokong Hijau Kuning.

Usaha membawa pulang Syafiq ke pangkuan KDA FC adalah mustahil tanpa perkenan pemilik JDT FC, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang membenarkan Syafiq dipinjamkan selama setahun kepada pasukan KDA FC.

Kontrak pinjaman ini sudah pasti memberi suntikan motivasi buat Syafiq untuk lebih cemerlang di musim 2022.

KDA FC merakamkan setinggi-tinggi penghargaan buat Tunku Mahkota Johor bagi merealisasikan hasrat pengurusan pasukan dan barisan kejurulatihan untuk mendapatkan khidmat Syafiq. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram