TINDAKAN Kedah Darul Aman (KDA) FC untuk membawa pulang bekas penyerangnya, Syafiq Ahmad dilihat sebagai satu langkah yang tepat dan mampu memberi manfaat buat pasukan itu.
Perkara itu disuarakan oleh Jan Fadzli yang menyifatkan pengalaman dan kematangan pemain berusia 26 tahun itu bakal membantu pasukan dalam menghadapi saingan musim hadapan.
"Usaha yang dilakukan oleh KDA FC untuk membawanya kembali ke dalam pasukan merupakan satu tindakan tepat.
"Syafiq mampu beraksi di mana-mana posisi serangan terutama peranan nombor 10, yang merupakan posisi yang paling sesuai buat beliau.
"Kini merupakan masa yang sesuai untuk meletakkan Syafiq dalam kesebelasan utama pasukan," kata penyokong KDA FC itu dalam satu hantaran Facebook pada Khamis.
Syafiq, yang turut menarik minat Juara Piala Malaysia 2021, KL City FC, dilaporkan semakin hampir menyertai skuad Hijau Kuning secara pinjaman daripada Johor Darul Ta'zim (JDT).
Mengulas lanjut, Jan berharap peminat KDA FC tidak memainkan sentimen negatif terhadap kepulangan semula bekas pemain mereka itu ke Stadium Darul Aman.
Jelasnya, kualiti yang ada pada pemain itu bakal menguatkan lagi pasukan serta membantu pemain-pemain muda bersaing secara sihat untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.
Syafiq sebelum ini pernah beraksi bersama KDA FC, ketika itu dipanggil Kedah FA, dari tahun pada tahun 2015 hingga 2017.
Beliau mencatatkan 11 gol dalam 47 penampilan bersama skuad Lang Merah dan pernah merangkul beberapa kejuaran termasuk trofi Liga Premier, Piala Malaysia dan Piala FA. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram