Zii Jia digantung dua tahun


  • Podium
  • Jumaat, 21 Jan 2022

Lee Zii Jia akan digantung daripada bermain di peringkat antarabangsa selama dua tahun. — The Star

PEMAIN perseorangan badminton lelaki utama negara, Lee Zii Jia digantung daripada terlibat dengan sebarang perlawanan antarabangsa selama dua tahun.

Penggantungan itu bermula 18 Januari 2021 dan diumumkan oleh Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos dalam satu sidang media pada Jumaat.

Menurut Jahaberdeen, Zii Jia bagaimanapun masih diberi peluang untuk membuat rayuan dan masih ada ruang untuk beraksi demi negara.

"Jika rayuan dibuat dan diterima atas beberapa sebab termasuk melibatkan semangat negara, berkemungkinan besar masih boleh beraksi di peringkat antarabangsa," katanya.

Jahaberdeen yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Perundangan BAM berkata, persatuan itu telah pun mengadakan beberapa siri perbincangan bersama pemain nombor tujuh dunia itu, sejak beliau menghantarkan surat peletakan jawatannya pada 11 Januari.

“Bagaimanapun Zii Jia tetap dengan keputusannya, dan pada satu daripada perbincangan tersebut berkata yang beliau tidak dapat tahan tekanan berada di dalam skuad kebangsaan dan gaya hidup ditetapkan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), di samping memberikan beberapa terma, yang kami tolak.

“Terma tersebut adalah untuk beliau mempunyai pasukan kejurulatihannya dan kakitangan sokongannya sendiri, merancang kejohanannya sendiri dan untuk mempunyai penajanya sendiri. Kami dengan berat hati membuat keputusan sukar ini demi kepentingan negara dan kesan kewangan, selepas membimbing pemain ini selama 11 tahun,” katanya.

BAM juga membuat keputusan untuk mengenakan tindakan kepada bekas juara remaja dunia Goh Jin Wei yang secara tiba-tiba meninggalkan BAM atas alasan kesihatan, dengan hukuman yang sama bermula 31 Oktober 2021.

Untuk bermain dalam sebarang kejohanan diiktiraf Persekutuan Badminton Dunia (BWF), seseorang pemain itu perlu didaftarkan menerusi persatuan badminton kebangsaan.

Namun, Jahaberdeen berkata, BAM ketika ini tidak bercadang untuk mengenakan denda kepada kedua-dua pemain tersebut.

Jahaberdeen berkata, pemain-pemain itu boleh membuat rayuan pada bila-bila masa, manakala pintu untuk mereka kembali kepada BAM juga masih terbuka.

Sebelum ini, BAM telah menggantung pemain seperti Tan Chung Seang dan Toh Ee Wei kerana meninggalkan kem latihan negara. Bagaimanapun, Ee Wei kemudiannya menyertai semula BAM. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram