KEADAAN jalan raya rosak antara yang sering menjadi isu perbualan dalam kalangan pengguna jalan raya.
Malah, beberapa laporan sebelum ini juga menunjukkan yang jalan rosak bukan sahaja boleh memberi kesan kepada kenderaan, tetapi juga menyumbang kepada kemalangan jalan raya.
Terbaharu, seorang pengguna Facebook menggunakan nama Annaz Says memuat naik satu video berdurasi lebih dua minit yang memaparkan keadaan jalan raya di Cheras Perdana, Selangor.
Menerusi rakaman video itu, dia berkata, terlalu banyak jalan yang rosak dan berlubang di sepanjang jalan tersebut.
"Jalan Cheras Perdana berapa banyak lubang. Bila kereta kita rosak, kita yang kena baiki.
"Bayar cukai mahal-mahal, tetapi jalan semua berlubang. Semua bertampal.
"Mana YB? Fikir la sikit, jawatan itu bukan suka-suka. Tetapi untuk orang lain senang. Ini menyusahkan rakyat," katanya.
TANGKAP layar komen netizen yang turut berkongsi rasa kecewa berkaitan jalan tersebut. — Facebook
Sementara itu, beberapa pengguna Facebook yang lain turut menyatakan rasa yang sama berkenaan dengan masalah tersebut.
Wan Hasliza berkata, masalah jalan berlubang sudah berlaku lama disebabkan jalan itu sentiasa dikorek dan ditampal dengan tidak sempurna.
Siti Nazreen pula berkata, keretanya mengalami kerosakan akibat keadaan jalan tersebut.
"Saya harap pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) percepatkan proses pemulihan jalan raya sebab keadaan dah teruk sangat," katanya.
Firdaus Fabian pula berkata, hampir seluruh kawasan Bandar Tun Hussein Onn dan Cheras Perdana mempunyai jalan yang rosak.
"Saya baru ini tukar absorber. Lagi-lagi bila jalan gelap, berdengung rasanya (langgar lubang)," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram