Pengganti Cheng Hoe tiba Februari, terima kontrak 2 'plus' 2


  • Podium
  • Jumaat, 21 Jan 2022

PAN Gon bakal menjadi jurulatih Korea pertama yang memegang jawatan berkenaan. — Agensi

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) melantik jurulatih Korea Selatan, Kim Pan-gon sebagai ketua jurulatih baharu Harimau Malaya bermula pertengahan Februari depan.

Pan-gon bakal diberikan kontrak selama dua tahun dengan tambahan dua tahun lagi berdasarkan prestasi beliau mengemudi skuad kebangsaan.

Menurut Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, Pan-gon akan membawa empat staf kejurulatihan sendiri terdiri daripada pembantu jurulatih, jurulatih kecergasan dan penjaga gol serta penganalisis.

"Selepas menerima permohonan dari seluruh dunia, kita mendapati beliau merupakan calon terbaik dan antara kriteria pemilihan adalah pemahamannya tentang bola sepak Malaysia, pernah melatih pasukan kebangsaan, mempunyai rangkaian antarabangsa, tahu siapa musuh Malaysia dan jangkaan kita.

"Kita tak letak sebarang penanda aras untuk beliau, beri Pan-gon peluang. Cuma sudah tentu sasarannya adalah layak ke Piala Asia.

"Kalau FAM berpuas hati, kami akan sambung kontraknya,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Pertama Jawatankuasa Eksekutif FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor pada Jumaat.

Pan-gon memulakan karier kejurulatihan selaku penolong jurulatih Busan IPark FC (2005-2008), ketua jurulatih kebangsaan Hong Kong (2009-2010), penolong jurulatih Gyeongnam FC (2011) dan kembali ke Hong Kong (2012-2017).

Beliau menggantikan Tan Cheng Hoe yang melepaskan jawatannya pada 2 Januari lalu susulan prestasi hambar pasukan Harimau Malaya di Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura.

Hamidin bagaimanapun menegaskan bahawa pelantikan jurulatih tidak akan menyelesaikan masalah skuad Harimau Malaya secara keseluruhan.

"Jadi kita mahu mengadakan perbincangan dengan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bagi memastikan kelab di Liga Malaysia menghasilkan pemain yang berkualiti,” ujarnya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram