Pengurus Harimau Malaya letak jawatan


  • Podium
  • Jumaat, 21 Jan 2022

DATUK Mohd Yusoff Mahadi. — Bernama

PENGURUS Harimau Malaya, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi akhirnya meletakkan jawatan sebagai pengurus Harimau Malaya.

Perkara itu disahkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.

Jelasnya, Mohd Yusoff meletakkan jawatan kerana ingin memberikan tumpuan penuh kepada badan penganjur saingan divisyen tiga negara iaitu Liga Bola Sepak Amatur (AFL).

"Mohd Yusoff berjumpa dengan saya dan menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan dan kami terima," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Pertama Jawatankuasa Eksekutif FAM di Wisma FAM di Kelana Jaya, Selangor pada Jumaat.

Mohd Yusoff yang juga Timbalan Presiden FAM dilantik sebagai pengurus skuad kebangsaan bermula 2018.

Beliau turut memegang beberapa peranan lain termasuk Pengerusi Jawatankuasa Naturalisasi; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bola Sepak Kebangsaan; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Darurat; Pengerusi Jawatankuasa Hubungan dan Pembangunan Ahli Gabungan serta Pengerusi Liga Bola Sepak Amatur (AFL).

Susulan peletakan jawatan Mohd Yusoff, FAM akan menunggu cadangan daripada Pengarah Teknikal, Scott O'Donell tentang calon yang akan mengisi kekosongan berkenaan dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram