Dia individu terbaik dalam bola sepak — Marcote


  • Podium
  • Rabu, 19 Jan 2022

MARCOTE mengakui pemilihan Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih MU adalah tepat. — Facebook

KHABAR angin bahawa bekas pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe bakal dilantik sebagai ketua jurulatih baharu Melaka United (MU) musim depan, bertiup kencang selepas khidmat Zainal Abidin Hassan tidak diperlukan lagi.

Meskipun Cheng Hoe pada Rabu menafikan khabar angin tersebut, namun beliau mengakui tetap terbuka dengan sebarang tawaran daripada mana-mana pasukan Liga Malaysia (Liga-M).

Cheng Hoe menjadi rebutan kelab Liga-M selepas meletakkan jawatan sebagai pengendali skuad kebangsaan bulan lalu.

Khabar angin itu turut disambut baik oleh bekas pengurus Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Ramon Marcote.

"Sekiranya berita itu benar, saya tumpang gembira untuk Cheng Hoe. Melaka merupakan bandar yang cantik dan memiliki kelab bola sepak yang banyak berkembang sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Saya berpendapat MU membuat pilihan yang baik dengan memilih Cheng Hoe.

"Melaka bukan sahaja melantik seorang pengurus yang hebat tetapi juga membawa salah seorang individu terbaik yang pernah saya temui dalam kehidupan bola sepak saya," katanya.

Tambah Marcote yang kini membiming skuad remaja Arab Saudi, Al Hilal, beliau yakin Cheng Hoe akan memberi sumbangan kepada perkembangan dan pembangunan MU dalam Liga Super.

"Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada Cheng Hoe dalam cabaran baharunya. Mulai hari ini, MU mempunyai seorang lagi peminat iaitu saya," ujarnya lagi.

Marcote pernah berbakti bersama Kedah selama empat tahun sebagai pembantu pengurus dan pengurus antara musim 2014 hingga 2018.

Beliau memiliki pengalaman sebagai jurulatih kecergasan untuk kelab Sepanyol, Altetico Madrid B. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram