Suarez nekad bergabung semula bersama Gerrard


  • Podium
  • Khamis, 20 Jan 2022

SUAREZ (kiri) memiliki hubungan yang cukup akrab bersama Gerrard semasa menyarung jersi Liverpool. β€” Agensi

LUIS Suarez dilaporkan menumpukan sepenuh perhatian untuk kembali bergabung bersama Steven Gerrard di Aston Villa selepas menolak beberapa tawaran kelab lain.

Suarez pernah beraksi bersama Gerrard selama tiga setengah tahun di Liverpool dan pemain antarabangsa Uruguay itu dikatakan tertarik untuk bekerja di bawah bekas kapten England itu di Villa Park.

Gerrard telah pun membawa salah seorang bekas rakan sepasukannya di Liverpool ke Villa apabila mendapatkan Philippe Coutinho dari Barcelona secara pinjaman untuk baki musim ini.

Coutinho membuat impak serta-merta setelah menjaringkan gol sebaik masuk dari bangku simpanan pada penampilan sulungnya ketika seri 2-2 di laman sendiri menentang Manchester United dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Ahad.

Wartawan bola sepak Sepanyol, Gerard Romero telah memberikan maklumat terkini tentang masa depan Suarez di saluran Twitch miliknya.

Romero menulis, bintang Atletico Madrid itu telah menolak tiga tawaran daripada kelab Brazil Palmeiras, Corinthians dan Atletico Mineiro.

Suarez juga telah berkata tidak kepada kelab Arab Saudi kerana dia sebaliknya berminat untuk menyertai Villa.

Untuk rekod, Gerrard dan Suarez mempunyai hubungan yang baik ketika mereka bermain bersama di Liverpool.

Bagaimanapun, kemungkinan sebarang perjanjian perlu menunggu sehingga musim panas depan sehingga kontrak Suarez di Atletico Madrid tamat.

Gerrard sebelum ini tanpa berselindung menyifatkan Suarez adalah pemain terbaik yang pernah bermain bersamanya.

"Saya tidak fikir sesiapa pun pernah berharap untuk bermain menentang Luis Suarez, dia adalah bakat yang hebat dan pemain yang sangat berbahaya," kata Gerrard.

β€œDia adalah rakan sepasukan yang hebat, mungkin pemain terbaik yang pernah beraksi bersama-sama.

"Suarez seorang lelaki yang baik, seorang lelaki yang mementingkan keluarga dan kami sentiasa berhubung dan menyokong antara satu sama lain sepanjang karier kami." β€” Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram