STEVEN Gerrard memuji bekas rakan sepasukannya di Liverpool, Philippe Coutinho yang mencetuskan impak besar pada penampilan sulungnya ketika Aston Villa bangkit untuk seri 2-2 dengan Manchester United dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Ahad.
Man United terlebih dulu mendahului dua gol menerusi jaringan berganda Bruno Fernandes, namun Villa kembali bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan pemain muda, Jacob Ramsey sebelum gol lewat babak kedua Coutinho yang masuk sebagai pemain gantian berjaya memastikan satu mata berharga di Villa Park.
Bercakap kepada BBC selepas perlawanan, Gerrard berkata: “Kami sangat positif dalam semua persiapan yang kami lakukan. Kami bertambah yakin selepas aksi Selasa (kekalahan Piala FA di Old Trafford) tetapi kami tidak memulakan permainan dengan betul selama 25 minit.
“Gol pertama lawan hadir ketika kami hilang fokus. Saya terpaksa memberitahu beberapa kelemahan ketika rehat babak pertama dan reaksi balas pemain adalah hebat.
“Kami bolos semasa perlawanan tetapi tidak berasa kesal pada diri sendiri. Saya tidak mempunyai masalah dengan orang membuat kesilapan kerana mereka melakukan kesilapan ketika cuba melakukan perkara yang betul, tetapi apa yang saya tidak boleh terima ialah bagaimana cara kami bermain pada 25 minit awal.”
COUTINHO (tengah) berjaya meledak gol penyamaan Villa dalam penampilan semulanya di pentas EPL — Getty Images
Mengenai Coutinho, Gerrard menambah: “Ia adalah permulaan yang baik. Kami telah membawa pemain bola sepak yang berkualiti ke kelab. Kami harap sentuhan penyudahnya kekal tajam.”
Dalam pada itu, ketika ditemubual Sky Sports selepas perlawanan, Coutinho mengakui dia rindukan suasana EPL.
“Saya sangat gembira berada di sini bersama rakan sepasukan baharu. Ia adalah permulaan yang baik, kami terus percaya sehingga akhir perlawanan, yang penting kami tidak tewas.”
Pemain Brazil itu juga mengakui dia berasa gementar sebelum membuat penampilan sulung.
“Ya sedikit, saya tidak berbahasa Inggeris dengan baik, saya lebih suka berada di atas padang daripada bercakap sepanjang masa. Saya gembira, ia adalah perlawanan pertama dan saya mahu bekerja keras untuk memperbaiki diri dan berada dalam keadaan yang lebih baik.
“Terdapat banyak turun dan naik. Saya pernah berada di EPL jadi saya perlu memenuhi objektif kelab dan pengurus. Saya mahu memberikan yang terbaik untuk membantu rakan sepasukan saya dan kelab." — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram