RAFAEL Benitez dipecat sebagai pengurus Everton pada Ahad selepas hanya 200 hari mengendalikan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) yang bergelut itu dengan bekas pemain, Wayne Rooney dianggap sebagai pilihan untuk mengambil alih tugas selaku pengurus baharu The Toffees.
Benitez cukup tidak popular dalam kalangan peminat Everton ketika dilantik pada Jun tahun lalu.
Jurulatih Sepanyol itu berdepan rekod buruk apabila melakar sembilan kekalahan dalam 13 perlawanan liga terakhir Everton, termasuk kekalahan 1-2 di Norwich City pada Sabtu sebelum dipecat.
“Benitez yang menyertai Everton pada Jun 2021, telah meninggalkan kelab itu berkuat kuasa serta-merta.
"Status mengenai pengganti tetap akan dibuat dalam masa terdekat," kata Everton dalam satu kenyataan.
Bekas penyerang Everton, Rooney, yang kini mengalami musim mengagumkan sebagai pengurus kelab divisyen dua, Derby, muncul kegemaran peminat untuk menggantikan Benitez.
Rooney adalah peminat Everton zaman kanak-kanak dan pernah beraksi sebanyak dua kali bersama kelab itu di sebalik kejayaannya bersama Manchester United.
Bekas rakan sepasukan Rooney di Everton, Frank Lampard, yang dipecat oleh Chelsea tahun lalu, juga disebut-sebut sebagai seorang lagi pesaing untuk jawatan itu.
Di bawah kendalian Benitez, Everton hanya memperoleh 19 mata dalam 19 perlawanan liga, jumlah terendah mereka pada peringkat separuh musim sejak 2005-06.
“Jalan untuk berjaya bukanlah mudah dan menyedihkan, pada masa kini dalam bola sepak segala-galanya mahu kejayaan segera sementara kesabaran yang semakin berkurang; malangnya keadaan telah menentukan keputusan dan tidak mungkin lagi untuk meneruskan projek ini,” tulis Benitez di laman webnya.
Peminat Everton tanpa berselindung mendesak Benitez disingkirkan semasa ditewaskan Norwich.
Mereka melaungkan pemecatannya dan mengangkat sepanduk bertulis ‘Benitez keluar dari kelab kami’, manakala seorang penyokong menceroboh padang dalam usaha untuk berdepan dengan bekas bos Real Madrid itu.
Everton mengadakan mesyuarat tergempar Lembaga Pengarah pada petang Sabtu untuk membincangkan masa depan Benitez, dengan perbincangan itu akhirnya membawa kepada pemecatannya pada Ahad.
Pelantikan kontroversi Benitez untuk menggantikan Carlo Ancelotti yang berhijrah ke Real Madrid pada Jun 2021 adalah satu perjudian besar oleh pemilik Everton, Farhad Moshiri.
Ini kerana Benitez telah menimbulkan kemarahan penyokong Everton dengan menyifatkan mereka sebagai sebuah kelab 'kecil' semasa beliau di Liverpool apabila membawa The Reds mengecap kejayaan final Liga Juara-Juara menentang AC Milan pada 2005.
Sebelum ini, Rooney pernah memberikan respons di sebalik khabar angin mengaitkan beliau sebagai bos di Goodison Park menggantikan Benitez.
“Seperti yang saya katakan, saya komited dengan kelab ini (Derby),” kata Rooney.
"Saya tidak mempunyai sebarang perbualan dengan Everton mengenai tugas pengurus jadi ia bukan sesuatu yang saya fikirkan." — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram