Peminat Liverpool 'jatuh cinta' dengan apa Gerrard buat terhadap penyokong Man United


  • Podium
  • Selasa, 11 Jan 2022

REAKSI bersahaja Gerrard (kanan) ketika berdepan provokasi penyokong Man United di Old Trafford awal pagi tadi. — Getty Images

STEVEN Gerrard memang tidak asing lagi dengan kejayaan menjaringkan gol menentang Manchester United sepanjang kariernya sebagai legenda Liverpool.

Bekas pemain tengah versatil itu menjaringkan sembilan gol ketika menentang The Red Devils semasa bersama The Reds, lima daripadanya di Old Trafford.

Tidak hairanlah ketika menentang Man United dalam pusingan ketiga Piala FA sebagai pengurus Aston Villa awal pagi Selasa, Gerrard diejek oleh penyokong The Red Devils yang berada di dalam stadium ketika dia keluar ke padang.

Tidak terkesan dengan provokasi sedemikian, pengurus berusia 41 tahun itu berpaling untuk berhenti seketika dan merenung Stretford End sambil mengunyah sekeping gula-gula getah - mencetuskan reaksi yang lebih kecoh daripada penonton tuan rumah.

Reaksi bersahaja Gerrard terhadap sambutannya di Old Trafford pastinya disedari penyokong Liverpool di media sosial, yang memberi penghormatan kepada bekas kapten kelab itu kerana pendekatannya yang tenang.

Villa ketinggalan satu gol pada separuh masa pertama selepas jaringan Scott McTominay seawal minit kelapan dan anak-anak buah Gerrard sepatutnya menyamakan kedudukan sejurus babak kedua bermula menerusi bekas penyerang Liverpool, Danny Ings.

Namun selepas penelitian VAR yang lama mencecah lebih tiga minit, gol itu akhirnya dibatalkan gara-gara kekasaran sebelum itu, sekali gus memastikan Man United mara ke pusingan keempat Piala FA berdepan Middlesbrough pada 5 Februari. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram