Liverpool tak perlu yakinkan sesiapa untuk pintas Man City — Klopp


  • Podium
  • Isnin, 17 Jan 2022

LIVERPOOL kini ketinggalan 11 mata di belakang juara bertahan, Man City sebaik menewaskan Brentford 3-0 pada Ahad. — Agensi

PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp menegaskan skuad kendaliannya akan memberikan segala-galanya serta tidak akan berputus asa dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).

The Reds kini ketinggalan 11 mata di belakang juara bertahan, Manchester City dengan kelebihan satu perlawanan sebaik menewaskan Brentford 3-0 di Anfield pada Ahad.

Beraksi di pentas EPL buat kali pertama tanpa Sadio Mane dan Mohamed Salah sejak 2017, gol-gol jaringan Fabinho, Alex Oxlade-Chamberlain dan Takumi Minamino memastikan Liverpool membawa pulang tiga mata penuh.

Ketika ditanya mengenai potensi mencabar Man City untuk merebut gelaran EPL, tegas Klopp: "Kami tidak perlu meyakinkan sesiapa di luar sana. Jika mereka mahu percaya, silakan.

"Jika anda bersama kami, anda akan menikmati perjalanan ini dan kami akan melakukan segala-galanya. Kami bersedia untuk pergi sejauh yang boleh. Ini bukan situasi untuk bercakap tentang perebutan gelaran, ia melibatkan perbezaan 11 mata dengan satu lagi perlawanan dalam tangan.

"Kami hanya buat kerja kami, tiada apa lagi yang perlu dilakukan."

Klopp ketika mengulas mengenai kemenangan ke atas Brentford berkata: "Bagi kami, cara Brentford bermain menentang kami memang tidak mudah. Jika anda perlu memenangi permainan, anda perlu mengawalnya dan bola berada di udara selama 20 minit hari ini melibatkan tandukan demi tandukan.

"Kami terpaksa berusaha keras untuk menang. Ia benar-benar rumit, namun saya sangat gembira.

"Ia mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri tetapi kami mengawal permainan apabila kami melakukannya. Hasilnya, kami berjaya menjaringkan beberapa gol yang bagus."

Pada Jumaat, The Reds akan berkunjung ke Stadium Emirates berdepan Arsenal untuk separuh akhir kedua Piala Liga Carabao selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada aksi separuh akhir pertama. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram