Dituduh Rangnick tak nak main lawan Villa, ini respons segera Martial


  • Podium
  • Ahad, 16 Jan 2022

Komen Rangnick terhadap Martial turut mencetuskan reaksi berang penyokong. — Agensi

"SAYA tidak akan menolak untuk bermain dalam perlawanan buat Manchester United," demikian respons balas Anthony Martial yang didakwa enggan bermain untuk kelabnya.

Terdahulu, pengendali Man United, Ralf Rangnick mendakwa, Martial memilih untuk tidak berada di bangku simpanan ketika sekadar seri 2-2 dengan Aston Villa dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Ahad.

Katanya, pemain itu tidak kelihatan bersama pasukan dalam perlawanan itu atas pilihan sendiri.

Komen Rangnick turut mencetuskan reaksi berang penyokong The Red Devils sebelum Martial memberi respons untuk menafikan tuduhan tersebut.

martial

Rata-rata penyokong menyatakan Martial dibayar gaji besar oleh Man United dan jika dia enggan bermain, ia akan menjadi satu penghinaan besar kepada mereka.

Martial memperoleh £250,000 (RM1.43 juta) seminggu, gaji yang dipersetujuinya apabila dia menyambung kontrak bersama pasukan itu pada 2019.

Komen tersebut turut menguatkan desas-desus masalah komunikasi yang dikatakan berlaku antara Rangnick dan Martial.

Martial tidak bermain satu perlawanan pun di bawah kendalian Rangnick, tetapi dia dilaporkan masih berlatih bersama pasukan utama.

Difahamkan, Martial hanya menunggu masa untuk meninggalkan Old Trafford sebelum jendela perpindahan pemain ditutup bulan ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram