Amer Azahar tidak sabar!


  • Podium
  • Ahad, 16 Jan 2022

AMER tekad mahu merebut tempat dalam skuad utama KDA FC musim ini. — Penang FC

PADA jendela perpindahan Liga Malaysia kali ini, Kedah Darul Aman (KDA) FC 'membeli-belah' dengan sakan di Pulau Pinang apabila membawa masuk empat pemain Penang FC sekali gus.

Lang Merah menandatangani dua pemain sayap, Al-Hafiz Harun dan Amer Azahar; pertahanan kiri, Azmeer Aris serta pemain tengah, Khairu Azrin Khazali daripada seteru utaranya itu.

Bagi Amer Azahar, perpindahan itu merupakan satu peluang yang sangat berharga untuk meningkatkan lagi tahap permainannya memandangkan beliau berpeluang untuk beraksi di peringkat Asia di kejohanan Piala AFC.

Pemain yang memulakan karier bersama UiTM FC itu mengakui peluang tersebut merupakan sebab utama beliau berhijrah ke Stadium Darul Aman.

"Beraksi di kejohanan Piala AFC akan menjadi pengalaman yang mahal untuk saya.

“Saya juga belum pernah lagi berpeluang untuk beraksi di tahap tertinggi seperti itu dan saya tahu peluang ini bukan mudah untuk diperoleh.

“Sekarang adalah masa untuk saya cuba buktikan kemampuan diri agar dapat bantu Kedah bukan sahaja di Liga Super, tetapi di Piala AFC," katanya.

Namun, menurut Amer, fokus utamanya ketika ini adalah untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan terutama di bahagian sayap yang dibarisi ramai pemain berbakat.

Amer bakal bersaing dengan pemain sayap lain antaranya Syazwan Zainon, Fayadh Zulkifli dan juga Al-Hafiz Harun

“Bagi saya, semua pemain ada watak masing-masing, dan InsyaAllah apabila saya diberi peluang, saya akan beri yang terbaik dan berharap dengan kudrat yang ada dapat membantu pasukan semampu mungkin.

"Saya tidak anggap ia satu masalah besar sebaliknya akan jadi cabaran untuk saya lebih bekerja keras mendapat tempat,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram