ANTHONY Martial tetap melaporkan diri menjalani latihan bersama Manchester United pada petang Ahad, sehari selepas menafikan dakwaan Ralf Rangnick bahawa dia enggan bermain menentang Aston Villa.
Bos interim Old Trafford itu sebelum ini memberitahu media bahawa pemain Perancis itu enggan beraksi semasa sekadar seri 2-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Villa Park pada Sabtu, menyebabkan Man United kekurangan pemain di bangku simpanan dengan hanya lapan pemain gantian.
Namun, kenyataan Rangnick segera dinafikan Martial di laman sosial.
Di sebalik 'perang dingin' itu, Martial tetap hadir menjalani latihan di Carrington sekitar 2.30 petang Ahad. Dia juga dilihat memberhentikan keretanya untuk mengambil gambar dengan peminat yang menunggu di luar pintu pagar kompleks.
Sebelum ini, Martial tanpa berselindung telah menyatakan hasratnya untuk meninggalkan Man United pada bulan Januari.
The Red Devils juga bersedia untuk memenuhi hasratnya, tetapi belum ada tanda-tanda perpindahan itu akan menjadi kenyataan.
Ini kerana sebarang perjanjian pinjaman perlu menampung semua gajinya dan termasuk yuran pinjaman, justeru hasrat kelab Sepanyol, Sevilla bagi mendapatkan Martial secara pinjaman juga ditolak selepas gagal memenuhi syarat tersebut.
Ejen Martial, Philippe Lamboley, baru-baru ini mengesahkan bahawa Martial mahu meninggalkan Old Trafford ketika jendela perpindahan pemain kali ini.
Bercakap kepada Sky Sports, Lamboley berkata: "Anthony ingin meninggalkan kelab pada Januari.
“Dia hanya perlu bermain. Dia tidak mahu kekal pada Januari dan saya akan bercakap dengan kelab tidak lama lagi.”
Bukan setakat di bawah kendalian Rangnick, Martial juga sebelum ini dilaporkan pernah cuba dijual dua pengendali Man United terdahulu iaitu Jose Mourinho dan Ole Gunnar Solskjaer gara-gara gagal beraksi seperti mana diharapkan sejak tiba di Old Trafford pada 2015 selepas dibeli Louis van Gaal. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram