Australia sahkan hantar pulang Djokovic


  • Podium
  • Isnin, 17 Jan 2022

Novak Djokovic dibawa keluar dari Australia pada Ahad. — Agensi

KERAJAAN Australia mengesahkan Novak Djokovic sudah dihantar pulang dari negara itu.

Djokovic, pemain tenis lelaki nombor satu dunia, pada malam Ahad meninggalkan Australia hanya beberapa jam sebelum bermulanya Terbuka Australia selepas Mahkamah Persekutuan sebulat suara mengekalkan keputusan kerajaan untuk membatalkan visanya.

Menteri Imigresen, Alex Hawke dalam kenyataan pada Ahad juga mengesahkan berita tersebut.

"Saya menyambut baik keputusan sebulat suara oleh Mahkamah Persekutuan Penuh Australia untuk mengekalkan keputusan saya untuk menggunakan kuasa saya di bawah Akta Migrasi bagi membatalkan visa Novak Djokovic demi kepentingan awam," katanya.

Terdahulu pada malam Ahad, panel penuh Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Hawke mempunyai kuasa undang-undang untuk membatalkan visa Djokovic di bawah Akta Migrasi.

Djokovic dalam satu kenyataan berkata, beliau amat kecewa dengan keputusan itu tetapi dalam masa sama menghormati keputusan mahkamah.

Terbuka Australia 2022 bermula pada Isnin dengan Salvatore Caruso dari Itali menggantikan Djokovic dalam undian sebagai "the lucky loser." — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram